Wednesday, December 31, 2014

ASNB umum agihan pendapatan ASB 7.50 sen seunit

12/31/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Berita baik kepada semua pemegang akaun ASB. Dibawah ini adalah kadar dividen yang diumumkan oleh pihak PNB berkaitan dengan agihan dividen untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014. Saya mengambilnya dari sumber disini:

Agihan pendapatan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 telah diumumkan pada Khamis 18 Disember 2014

Ia menyaksikan agihan pendapatan adalah sebanyak 7.50 sen seunit dan bonus satu sen seunit bagi dana Amanah Saham Bumiputera (ASB)
Jika dibandingkan dengan agihan pendapatan tahun sebelumnya, untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 ia tiada kenaikan


Sementara itu, Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dalam satu notis yang dikeluarkan memaklumkan bahawa urus niaga ASB dan ASN ditangguhkan mulai 23 Disember 2014 hingga 1 Januari 2015 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus
Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus berkenaan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit, yang mana pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat atau ejen ASNB di seluruh negeri mulai 2 Januari 2015.

Berikut adalah jadual senarai agihan pendapatan dividen dan bonus ASB untuk tahun terdahulu dan terkini

TahunDividen (sen – seunit)Bonus (sen – seunit) Total (sen – seunit)
20009.752.0011.75
20017.003.0010.00
20027.002.009.00
20037.252.009.25
20047.252.009.25
20057.251.759.00
20067.301.258.55
20078.001.759.75
20087.001.758.75
20097.301.258.55
20107.501.258.75
20117.651.158.80
20127.751.158.90
20137.701.008.70
terkini 20147.501.008.50

Pengalaman Membeli Kereta Proton Preve - Bhg. 4 - Terakhir

12/31/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Diharapkan anda sihat-sihat selalu. Baiklah, entry kali ini adalah sangat simple. Ianya adalah status terkini projek pembelian kereta Proton Preve yang telah saya kongsikan sebelum ini. Jika anda terlepas entry sebelum ini, anda boleh klik disini Bhg. 1 , Bhg. 2 , dan Bhg. 3.


Hari ini adalah hari terakhir untuk membeli kereta Proton Preve untuk mendapatkan diskaun sebanyak RM8ribu untuk kereta jenis ini. Pada hari ini juga, saya telah dimaklumkan oleh pihak bank iaitu Hong Leong Bank Berhad yang permohonan pinjaman kereta saya telah lulus. Alhamdulillah. Walaupun kadar interest agak tinggi, namun inilah bank terakhir yang sudi memberikan pinjaman.

Dengan hati yang agak gembira, saya telah pergi ke Cawangan Proton Chan Sow Lin untuk membuat tempahan. Namun, akhirnya saya dikecewakan juga. Setelah pelbagai halangan yang ditempuhi seperti kesusahan mendapatkan pinjaman bank, akhirnya saya dikecewakan juga kerana kereta yang diimpikan tidak terdapat didalam stok.

Kesimpulannya, mungkin sekarang bukanlah rezeki saya untuk memakai kereta baru. Rezeki sekarang nampaknya masih lagi bersama Proton Iswara. Walaupun gagal, namun saya telah belajar banyak juga perkara dari apa yang berlaku ini. Mungkin ini rumusan yang boleh saya simpulkan:

1. Pilih kereta dengan cermat. Jika boleh, sila membuat test drive untuk memastikan anda benar-benar berpuas hati membelinya. Cuba berbincang dengan penjual tentang diskaun terkini yang ditawarkan oleh pengeluar kereta. Tanya sekali jika boleh mendapatkan diskaun melebihi dari apa yang ditawarkan. Kebanyakkan penjual akan memotong komisyen mereka demi membuat jualan (sales) yang banyak.

2. Ketika sudah berkenan pada satu-satu kereta, cepat-cepat pergi hantar semua dokumen yang diperlukan kepada penjual kereta. Anda juga boleh membuat pilihan untuk menghantar dokumen ke bank-bank selain dari bank pihak penjual. Tujuan adalah untuk mendapatkan kadar interest yang terendah sekali di dalam pasaran pada waktu it.

3.Pastikan semua dokumen lengkap. Jika anda rasa was-was atau takut pinjaman tidak diluluskan, boleh juga sediakan dokumen penjamin sebagai sokongan pinjaman ini.

4. Walauapapun jenis kereta yang anda impikan, pastikan anda membeli kereta yang betul-betul anda mampu jelaskan bayaran ansuran pada setiap bulan. Jika tidak, ianya agak sia-sia dan merugikan anda jika bank terpaksa menarik kereta ini dek kerana kegagalan anda menjelaskan ansuran bulanannya.

Sampai sini sahaja entry kali ini. Kita jumpa lagi di entry seterusnya. 

Salam hormat.

Tuesday, December 30, 2014

Pengalaman Membeli Kereta Proton Preve - Bhg. 3

12/30/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hari ini, saya ingin berkongsi sedikit update tentang projek pembelian kereta baru Proton Preve 1.6 Auto. Jika anda terlepas artikel sebelum ini, sila klik di sini dan di sini. 



Pada hari ini, iaitu 30 Disember 2014, saya diberitahu oleh beberapa pihak bank bahawa percubaan saya untuk membuat pinjaman kereta adalah TIDAK DILULUSKAN. Huhu. Sedih rasanya. Antara bank yang tidak meluluskan permohonan saya adalah:

1. Maybank
2. RHB
3. Public Bank
4. Al-Rajhi


Mungkin pada pendapat orang diluar sana hendak membuat pinjaman adalah semudah ABC. Ya, saya akui, sebenarnya, membuat pinjaman adalah lebih mudah. Namun ianya bersyarat. Sudah semestinya, mempunyai dokumen-dokumen yang lengkap untuk pemprosesan oleh pihak bank. Seperti yang anda sedia maklum, pada ketika ini, saya memang tidak bekerja bersama syarikat minyak negara untuk satu tempoh masa yang agak panjang. Akibat dari ini, banyak dokumen saya yang tidak lengkap dan menyulitkan pihak bank untuk meluluskannya. 

Berikut adalah beberapa alasan yang diberikan oleh mereka semua:

"Awak tidak ada gaji tetap, pihak bank susah nak luluskan".
"Walaupun awak ada guarantor, namun komitmen awak agak tinggi buat masa ni".
"Saya dah hantar kepada bos untuk approval, tapi kes awak ini special sikit. Saya cadang awak beli guna nak isteri awak". 
dan macam-macam alasan lagi yang diberikan oleh mereka.

Mungkin ada hikmah juga mengapa saya tidak mendapat kelulusan untuk membuat pinjaman. Mungkin tuhan hendak memberi petunjuk yang saya mungkin tidak mampu membayarnya pada pertengahn tempoh pinjaman. Sesungguhnya, perancangan Allah adalah sangat superior.

Walauapapun yang terjadi, InshaAllah, saya akan cuba untuk membuat pinjaman kereta pada masa akan datang. Ye la, walaupun ianya dikatakan liabiliti, namun, ianya juga merupakan satu keperluan terutama sekali jika sudah mempunya keluarga. Pasti anda dan juga saya ingin memberikan keselesaan yang baik kepada insan yang tersayang.

Baiklah, sampai sini dahulu. Kita jumpa di entry yang seterusnya.

Saturday, December 27, 2014

Buku Membongkar Rahsia Ar Rahnu

12/27/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Seharian pada hari ini, saya meluangkan sedikit masa untuk membaca dan mendalami ilmu berkaitan dengan pelaburan emas. Untuk pengetahuan anda, sebenarnya dah lama dah saya membeli buku ini dan mengkhatamkannya. Namun tiba-tiba pada hari ini, saya ingin membaca sekali lagi tentang apa yang ditulis didalam buku ini dan cuba memberikan ulasan berdasarkan pandangan saya. Anda tidak dinasihatkan untuk menerima bulat-bulat pandangan saya. Oleh itu, anda juga seharusnya memilikinya dan meluangkan sedikit masa untuk membaca dan seterusnya membuat keputusan berdasarkan apa yang baca dah faham.



Buku ini menerangkan 11 teknik bagaimana anda boleh menjana pendapatan melalui gadaian barangan kemas. Ia dikarang oleh Ustaz A. Ali. Kesemua teknik yang ada di dalam buku ini telah membuka mata dan minda saya, bagaimana emas yang anda ada, boleh dimanipulasikan di pusat gadaian seperti Ar-rahnu untuk menghasilkan pendapatan/ keuntungan sampingan.

Antara teknik yang diterangkan di dalam buku ini ialah:
1. Teknik Gadai dan Tebus
2. Teknik Gadai, Ansuran dan Tebus
3. Teknik Gadai, Tebus dan Jual
4. Teknik Tukar Surat - Tebus 
5. Teknik Tukar Surat, Tebus dan Jual
dan teknik-teknik yang seterusnya. (Semua sekali ada 11 teknik).

Setelah membaca sebanyak 2 kali, apa yang boleh saya simpulkan berdasarkan pengetahuan saya, pendapatan atau keuntungan yang dijana ini adalah bergantung semata-mata kepada kenaikan harga emas dan juga berat barang kemas yang dijadikan gadaian tersebut. Ya, anda akan menjana keuntungan apabila harga emas naik. Tetapi, bagaimana jika harga emas adalah tidak seperti yang anda fikirkan?



Saya berkesempatan untuk meninjau harga pasaran emas di laman web Kitco. Pada ketika ini iaitu 27 Disember 2014, harga emas adalah agak rendah berbanding pada Julai 2011. Seperti yang anda dapat lihat, jika anda mengamalkan teknik-teknik yang disebutkan diatas ini sebelum Julai 2011, InshaAllah, anda akan memperoleh keuntungan atau juga pendapatan pasif. Jika anda melabur dan mengikut teknik yang disebutkan diatas selepas waktu tersebut, kemungkinan untuk anda rugi adalah tinggi.

Disini, kerugian yang saya maksudkan adalah dari segi penurunan harga emas, kos upah yang boleh dikatakan agak tinggi jugak iaitu sekitar 7-8% setahun dan juga risiko barang gadaian itu dilelong kerana tidak mampu untuk menebus semula ketika harga rendah.

Oleh itu, pada pendapat saya, sebaiknya jadikanlah Ar-rahnu sebagai tempat untuk membuat gadaian barang kemas apabila anda betul-betul terdesak untuk menggunakan duit tunai. Jika tidak perlu, anda cuba jauhkan diri dari membuat teknik-teknik yang disebutkan didalam buku. Ini kerana, semua ilustrasi di dalam buku ini hanya berdasarkan keadaan emas yang menaik dan bukan yang menurun.

Apa akan berlaku jika anda silap langkah? Bukan sahaja anda tidak mampu menebus semula emas anda, mungkin juga anda perlu menambah lagi wang simpanan anda untuk menebusnya pada masa akan datang. Jika tidak, pilihan yang terakhir adalah melelongnya atau terpaksa menjual surat gadaian tersebut kepada pembeli luar yang sememangnya suka melihat keadaan anda seperti yang dinyatakan diatas ini. Pembeli surat gadaian memang suka melihat keadaan dimana anda terpaksa menjual surat gadaian kerana mereka juga boleh turut serta menjana pendapatan sampingan kepada mereka.

Apa komen ada tentang teknik buku ini? Sila kongsikan bersama di ruangan komen dibawah. :)

Hingga jumpa lagi di entri seterusnya.

Thursday, December 25, 2014

Mengapa Rumah Adalah Medium Pelaburan Yang Bagus?

12/25/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Seperti yang anda semua sedia maklum, harga rumah di Malaysia saban hari semakin meningkat. Jarang kita dengar harga rumah akan menurun nilainya. Jika ada pun, pasti ianya adalah dikawasan yang terlalu ramai masalah dan juga di dalam kawasan hot spot untuk dilelong.


Hari ini, saya ingin berkongsikan kepada anda, beberapa sebab yang anda harus fikirkan, mengapa memiliki rumah adalah satu pelaburan yang ideal. Tips ini adalah berdasarkan kepada pengalaman saya sendiri yang sudah menyewakan rumah kepada beberapa orang penyewa sebelum ini. Antara sebab-sebabnya adalah:

1. Pendapatan sampingan (Passive Income)
Ya, jika tujuan pembelian rumah itu adalah untuk pelaburan, maka ianya disebut sebagai pendapatan pasif. Ianya kerana pada setiap bulan, penyewa akan memasukkan jumlah wang sewaan ke dalam akaun kita tanpa kita membuat apa-apa. Dan yang paling best, duit sewa ini akan masuk tepat pada berapa haribulan seperti yang termaksub di dalam perjanjian penyewaan.

2. Tidak perlu membayar ansuran bulanan.
Jika anda menyewakan rumah anda, pendapatan atau hasil sewa tersebut boleh digunakan untuk membayar ansuran di bank. Jadi, anda tidaklah terasa beban untuk memikirkan ansuran bulanan tersebut kerana ianya sudah "terjamin" yang ianya akan dbayar oleh penyewa sekarang.

3. Kenaikan harga rumah.
Sebuah rumah yang dibeli pada tahun 80an atau 90an pasti mempunyai nilai pasaran yang sudah melebih harga rumah itu. Misalnya di flat Seksyen 1 Wangsa Maju, khabarnya harga asal rumah tersebut adalah sekitar 25k pada tahun awal 90an. Namun sekarang, nilai pasaran tersebut sudah mencecah RM180k berdasarkan rujukan yang dibuat kepada Professional Valuer.


4. Pendapatan yang berterusan
Selagi anda adalah pemilik sah rumah tersebut, pastinya anda akan terus mendapat pendapatan pasif ini secara berterusan. Jika ianya berstatus Freehold, maka selama anda hidup, anda akan terus memperolehi pendapatan pasif ini. 

Jadi, dah jelas dengan beberapa sebab yang saya nyatakan diatas? Jika masih belum, anda boleh menghubungi saya untuk mendapatkan pencerahan yang lebih lanjut. Saya akan bantu setakat mana yang saya boleh. InshaAllah. :)


Bagaimana anda boleh menjana RM10 ribu pertama anda? - Tips 2

12/25/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hari ini, saya bercadang untuk berkongsi rahsia bagaimana saya membuat RM10 ribu yang pertama saya. Jika anda sudah terlepas dengan Tips 1 sebelum ini, sila klik di sini. Walaubagaimanapun, ini adalah berdasarkan pengalaman saya, dan anda dinasihatkan untuk mendapatkan penjelasan dan nasihat daripada pakar sekiranya ingin berbuat perkara yang sama. :)

Pada ketika saya berusia 23 tahun, saya mula terfikir untuk membeli sebuah rumah kerana ketika itu, saya memikirkan adalah sangat rugi jika saya terus menyewa rumah di kawasan Taman Melati, Kuala Lumpur. Sewa untuk sebilik adalah sekitar RM400 termasuk dengan bil air, elektrik dan internet. Jadi, apa yang saya lakukan adalah dengan melayari website www.mudah.my dan melihat jika ada rumah yang ingin dijual berdekatan dengan LRT.

Alhamdulillah, rezeki saya pada masa itu, diketemukan dengan seorang yang sedang ingin menjual rumahnya secara "Urgent" kerana ingin menggunakan wang secepat mungkin untuk membiayai perniagaannya. Rumah yang dimaksudkan adalah rumah flat di kawasan Seksyen 1, Wangsa Maju. 

Sekadar gambar hiasan.

Antara sebab saya nekad membeli rumah ini adalah:

1. Berdekatan dengan LRT
Ya, ini adalah kriteria pertama yang saya fikirkan iaitu ianya mestilah berdekatan dengan LRT. Ini untuk memudahkan saya ke tempat kerja tanpa mengharungi kesesakan lalu lintas.

2. Pusat membeli belah yang dekat
Disekitar rumah saya ini, terdapat beberapa Plaza membeli belah yang utama. Antaranya ada Aeon Wangsa Maju, Wangsa Walk dan KL Festival City. Ini menjadi sebab kerana ianya boleh menjadi tempat untuk saya membeli-belah atau sekurangnya dapat mengurangkan tekanan kerja dengan window shopping.

3. Pengangkutan awam yang banyak
Di depan rumah saya ini, terdapat hub bas Rapid KL dan juga tempat perhentian teksi. Jadi, ianya memudahkan saya jika saya memerlukan pengangkutan awam ini sebagai alternatif kepada LRT.

4. Harga yang munasabah
Ketika saya membeli rumah tersebut, harga untuk kawasan sekitar tersebut adalah dalam lingkungan RM85-RM100 ribu. Ya, ini harga rumah flat, bukan rumah atas tanah. Tapi disebabkan oleh LRT di depan rumah, jadi saya rasa, ianya adalah sesuatu yang berbaloi.

Jadi, bagaimana saya membuat RM10k pertama saya? Seperti yang anda semua maklum, kita boleh berpakat dengan penjual untuk menaikkan harga semasa membuat perjanjian S&P.  Dari situ, kita boleh meletakkan harga maksima yang pihak bank sedia untuk terima mengikut nilai pasaran yang telah dirujuk kepada pakar penilaian hartanah. 

Apa yang saya buat adalah dengan menaikkan harga original iaitu RM93k kepada RM115k di dalam S&P. Pihak bank pula akan memberikan 90% pinjaman dari harga S&P iaitu RM103.5k. Jadi, selebihnya iaitu dalam RM10.5k, saya terima dari penjual asal tersebut dan ini dikira sebagai duit yang boleh digunakan untuk membuat renovasi rumah.

Itulah serba sedikit bagaimana saya menjana RM10k yang pertama saya. Bagaimana dengan anda pula? Sudi-sudilah kongsikan disini. :)

Sampai jumpa di entri seterusnya.

Wednesday, December 24, 2014

Percutian ke Bukit Tinggi, Pahang

12/24/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,


Untuk pengetahuan anda semua, sebenarnya trip ke Bukit Tinggi ini dah lama saya dan keluarga pergi iaitu pada 16 Disember 2014. Namun, baru hari ini saya rasa agak sesuai untuk berkongsi dengan anda semua.

Sebenarnya, perjalanan ini adalah rancangan last minute yang saya buat untuk meraikan ulang tahun perkahwinan saya dengan isteri. Ya, ini ulang tahun yang ke 2. Ok, saya senaraikan dibawah ini antara sebab-sebab saya memilih Bukit Tinggi sebagai tempat percutian kami:

1. Jarak perjalanan yang dekat
Perjalanan kami dari rumah di Desa Petaling ke Bukit Tinggi hanya mengambil masa selama 1 jam sahaja. Ini termasuk dengan beberapa kali persinggahan di stesyen minyak untuk ke tandas. Pada hari itu, hujan turun disebalah pagi. Jadi suhunya agak sejuk pada waktu itu.

2. Tidak memerlukan kos yang tinggi
Tiket masuk ke Bukit Tinggi agak rendah juga walaupun tidak percuma. Tiket untuk seorang dewasa adalah sebanyak RM12 sahaja. Bagi saya, ianya berbaloi juga kerana kita dapat menikmati udara yang betul-betul segar di puncak bukit tersebut. Ditambah lagi dengan cuaca yang sejuk selepas hujan, ianya memang betul-betul menyamankan. 

3.Tidak memerlukan hotel penginapan
Ya, kami sekeluarga tidak menginap di hotel kawasan tersebut. Lagi-lagi pada cuti umum dan juga last minute punya rancangan, harga hotel disitu agak mahal ketika itu. Lagipun, jarak perjalanan yang dekat memudahkan kami sekeluarga untuk balik hari saja.

4. Isteri suka melihat pemandangan kehijauan
Percutian kali ini langsung tidak ada kaitan dengan pulau atau kawasan pantai. Ini adalah kegemarannya melihat kehijauan alam ciptaan tuhan. Jadi, tidak salah untuk anda menggembirakan pasangan anda juga dengan pergi ke tempat yang dia inginkan.

Keseluruhannya, percutian kami kali ini memang best. Ianya dekat dan juga agak menjimatkan kos berbanding jika pergi ke tempat lain. Ianya sesuai untuk menjadi tempat percutian untuk mengambil gambar bersama keluarga. Nikmatilah udara yang segar ini sementara ianya masih kekal lagi. Kita tidak pasti jika akan ada projek pembangunan yang boleh melenyapkan keindahan di kawasan in seperti apa yang berlaku di Cameron Highlands pada masa hadapan. Jom layan gambar saya dan keluarga di sana.











Hingga jumpa lagi di entri seterusnya. :) 

Pengalaman Membeli Kereta Proton Preve - Bhg. 2

12/24/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Jika anda terlepas membaca bahagian 1 sebelum ini, sila klik di sini. Baiklah, hari ini saya ingin berkongsi dengan anda apa cabaran yang saya hadapi ketika ingin membeli kereta. Cabaran ini hanya terpakai kepada saya, dan mungkin tidak terpakai untuk anda. Jadi, anda bacalah dan hadamnya seorang diri. :)


1. Kereta yang ingin dibeli.
Jika anda ditempat saya, pasti anda inginkan kereta yang berkualiti dan pada masa yang sama, ianya adalah ''Value for Money". Bila kita kata value for money, jarang kita akan dengar yang kereta Proton adalah kereta yang sesuai untuk istilah ini. Rata-rata pengguna di internet menyatakan bahawa kereta Proton adalah "Overpriced" atau terlebih harga  berbanding dengan harga kereta import yang diketahui mahal disebabkan oleh cukai. Rata-rata dari ahli keluarga juga mencadangkan kepada saya untuk membeli kereta seperti Nissan Almera, Honda City atau Toyota Vios. Tapi, disebabkan bajet saya yang agak terhad, saya harus memilih kenderaan yang sesuai dan yang mampu untuk saya membayarnya pada setiap bulan.

2. Pinjaman bank
Sebenarnya, ketika saya membuat keputusan untuk membeli kereta pada 21 Disember 2014, ianya adalah sudah agak lewat. Lewat disini adalah kerana promosi diskaun sebanyak RM8 ribu yang ditawarkan oleh Proton akan berakhir sehingga 31 Disember 2014. Ini bermakna, saya hanya mempunyai 10 hari sahaja atau lebih kurang 6 hari bekerja sahaja untuk mendapatkan pinjaman bank. Seperti yang diduga, bukan semua bank yang mahu terima cadangan saya untuk membeli kereta ini memandangkan saya tidak mempunyai pendapatan. Antara bank yang saya pergi adalah Hong Leong Bank, BSN, Bank Rakyat, RHB, Al-Rajhi, Kuwait Finance House, Maybank dan yang terakhir sekali adalah Public Bank. Public Bank ini adalah bank panel kepada dealer kereta tersebut.  Boleh dikatakan, hampir separuh bank yang tidak mahu pun memberikan pinjaman kepada saya. Maksud saya, saya ingin menghantar dokumen berkaitan pinjaman, namun mereka telah menolak mentah-mentah dengan berkata "Ini polisi syarikat kami untuk tidak memberikan pinjaman kepada mereka yang tidak berpendapatan". Apapun, ada juga bank yang sempat saya pergi dan berikan dokumen yang diperlukan. Sehingga ke hari ini iaitu 24 Disember 2014, saya masih belum mendapat apa-apa jawapan dari mana-mana bank. Ini bermakna saya hanya ada 4 hari bekerja sahaja lagi untuk mendapatkan pinjaman!

3. Penjamin
Pada asalnya, saya bercadang untuk tidak menggunakan sebarang penjamin. Bukan apa, ianya akan memberikan persepsi yang kurang baik jika kita inigin mendapatkan penjamin. Walaupun saya mampu bayar bulanan kereta ini, namun pihak bank masih lagi berdegil menyatakan mereka memerlukan sesuatu sebagai jaminan yang saya mampu untuk membayarnya pada masa hadapan kelak. Disebabkan oleh tempoh masa yang agak singkat, saya memberanikan diri untuk menanya abang saya jika dia sudi menjadi penjamin. Akhirnya, dia bersetuju. Lalu saya kumpulkan semua dokumen yang diperlukan seperti salinan IC, lesen memandu, slip gaji 3 bulan yang terkini dan juga penyata bank. Cepat-cepat saya emelkan dokumen tersebut ke semua bank yang saya tulis diatas.

Adakah pinjaman saya akan diluluskan oleh pihak bank? Dan pihak bank yang manakah yang sanggup mengambil risiko dengan memberikan pinjaman kepada saya? Saya akan kongsikan di entri berikutnya selepas saya mendapat kepastian dari pegawai bank berkaitan. 

Jumpa lagi. :)

Tuesday, December 23, 2014

Pengalaman Membeli Kereta Proton Preve - Bhg. 1

12/23/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Tajuk hari ini adalah berkaitan dengan pengalaman saya cuba membuat pinjaman kereta, tetapi dengan senario dimana saya tidak mempunyai pendapatan yang diperoleh buat tempoh masa 9 bulan. Seperti yang anda sedia maklum, saya sekarang ini sedang mengambil cuti tanpa gaji selama 9 bulan bertujuan untuk mempercepatkan proses menghabiskan silibus ACCA. 



Baiklah, sebenarnya dah lama juga terfikir untuk membeli kereta baru. Maklumlah, kereta yang sedang saya pakai sekarang ini sudah berusia lebih dari 15 tahun. Walaupun masih OK, namun saya sentiasa rasa seperti tidak selamat terutama sekali apabila hendak berjalan jauh dari KL-JB. Hampir setiap kali balik, saya akan membelanjakan sedikit duit untuk servis mahupun kerosakan yang berlaku ketika berada di Johor. Jadi, setelah berfikir agak lama, saya telah membulatkan hati untuk mengambil kereta baru yang pada pendapat saya, saya mampu untuk membayarnya pada setiap hujung bulan.




Bagaimana ianya bermula?
Sebenarnya, dah lama saya memendamkan rasa untuk memiliki kereta baru. Selepas hampir 5 tahun bertugas di syarikat minyak negara, saya rasa, sudah tiba masanya untuk menikmati penggunaan kereta baru. Rata-rata graduan, akan terus membeli kereta baru selepas sebulan dua bekerja. Namun, saya mengambil masa agak lama, iaitu 5 tahun untuk membuat keputusan ini. Kereta sekarang iaitu Proton Iswara, masih lagi elok untuk dipakai. Ianya boleh dikatakan masih lagi sedap kerana tidak ada keluar bunyi yang kasar di bahagian enjin. Perkara ini telah di verified oleh mekanik di beberapa tempat yang saya pergi. Namun kerosakan kereta yang berlaku pada 3 November lalu menjadi titik tolak kepada saya untuk membuat keputusan samada saya PERLU beli kereta baru atau tidak. 

Dan ya, selepas beberapa analisa/ kajian yang saya lakukan terhadap kedudukan kewangan saya, serta pendapat dan juga harapan dari orang tua, saya telah memberanikan diri untuk membeli kereta baru ini. Sudah pasti, banyak halangan yang saya tempuhi ketika percubaan untuk membeli kereta ini. Adakah anda ingin mengetahuinya? Saya akan kongsikan di entry yang seterusnya. InshaAllah. :) 


Thursday, December 18, 2014

Quotable Billionaire

12/18/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Semoga anda terus sihat hendakNya. Hari ini saya ingin berkongsikan ulasan untuk sebuah buku yang pada pendapat saya, ianya sangat membantu saya dan mungkin juga anda, untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini. Buku yang saya maksudkan adalah The Quotable Billionaire yang ditulis oleh Steven D. Price.


Walaupun saya tidak pernah mengenali penulis buku ini, namun saya berpendapat buku ini penuh dengan tips dan juga kata-kata semangat yang sememangnya mampu membakar semangat anda. Tidak perlu risau jika anda bukan seorang usahawan ataupun ahli perniagaan kerana buku ini dengan jelas telah memberikan semangat kepada semua kategori pembaca, termasuklah kepada saya sekali iaitu seorang penganggur muda.

Di dalam buku telah dibahagikan kepada beberapa seksyen seperti Rahsia Kejayaan, Kepimpinan, Pelaburan dan juga banyak lagi kategori. Antara beberapa ayat atau ucapan yang pernah dilakukan oleh pemimpin perniagaan dan saya sangat menggemarinya adalah seperti berikut:

"If you can actually count your money, then you are not really a rich man." 
- J. Paul Getty

"Anyone can be a millionaire, but to become a billionaire you need an astrologer." 
- J.P. Morgan

"The real measure of your wealth is how much you'd be worth if you lost all your money." 
- source unknown

Kata-kata semangat dan juga motivasi ini sepatutnya dapat memberikan kita inspirasi untuk terus bangkit dan lebih berjaya pada masa hadapan. Oleh itu, rancanglah masa hadapan anda supaya anda juga terus kaya dan berjaya!. Insha Allah. 

Wednesday, December 17, 2014

Bagaimana anda boleh menjana RM10 ribu pertama anda? - Tips 1

12/17/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Tajuk post hari ini agak menarik bukan? Bagaimana anda boleh menjana pendapatan RM10 ribu yang pertama dalam kehidupan anda. Bukan semua orang boleh melakukannya, namun ia juga tidak harus dijadikan alasan untuk menggagalkan usaha anda mencapai RM10 ribu pertama. Mungkin, anda telah pun memperolehi RM10 ribu yang pertama melalui pelbagai usaha dan kerja yang anda sangat suka. Kalau begitu, apa kata anda kongsikan bersama saya di bahagian komen dibawah? :)



Suka saya ingatkan disini, untuk menjana pendapatan sebegitu, perkara yang paling dan paling penting dalam hidup anda adalah, anda wajib mempunyai fikiran positif yang membenarkan tubuh badan anda untuk berusaha mencapai matlamat tersebut. Jika fikiran anda masih lagi sentiasa memikirkan hal-hal negatif, sampai kesudahnya, memang tidak akan ada apa-apa yang anda boleh usahakan. Jadi, fikirlah positif setiap masa. InshaAllah, semoga usaha anda akan dipermudahkan nanti. 

Berbalik kepada tajuk kita diatas, terdapat pelbagai cara yang boleh diusahakan. Namun saya fikir, baiklah kita belajar sesuatu yang paling asas sekali didalam dunia pelaburan. Apa yang paling asas sekali ye? Jawapan adalah:

Tips 1 - Belajar tentang compounding interest atau kadar berganda

Jika wang yang anda ada pada hari ini adalah RM5,000 dan dibiarkan selama 10 tahun dengan kadar dividen sebanyak 8% setahun, anda akan memperoleh sebanyak RM10,795. Ya, Ianya adalah keuntungan yang anda perolehi tanpa membuat apa-apa. Biarkan sahaja di institusi kewangan yang berdaftar yang memberikan pulangan seperti diatas untuk menjana RM10 ribu anda.

Warent Buffet, seorang pelabur yang sangat terkenal di seluruh Amerika pernah berkata, di dalam dunia pelaburan, hanya ada 2 peraturan yang paling asas iaitu:

Peraturan 1 : Jangan kehilangan duit anda
Peraturan 2 : Jangan lupa tentang Peraturan 1 diatas

Ya, bunyinya agak mudah, tanpa kita selalu terlupa atau cuai tentang Peraturan 1 tersebut. Kesimpulannya, untuk menjana pendapatan yang anda inginkan, anda kena selalu ingat, walauapapun yang lakukan, janganlah membuatkan anda kehilangan duit anda!



Promosi Free Seats dari Malindo Air

12/17/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, 

Hari ini, apabila saya buka emel saya, saya sangat teruja apabila mendapat emel dari Malindo Air yang sedang membuat promosi hebat dengan memberikan tempat duduk percuma. Ya, ini adalah strategi yang sama digunakan oleh pihak Air Asia dan nampaknya, ianya agak berkesan untuk dibuat di dalam negara kita. 


Walaubagaimanapun, harus diingatkan bahawa promosi ini hanyalah untuk tempoh perjalanan dari 5 Januari hingga 12 Februari 2015. Bagi anda yang sudah merancang untuk bercuti, rebutlah peluang ini sementara seat masih ada lagi. 

Apapun, merancanglah dengan bijak percutian anda supaya semuanya berjalan lancar dan dapat menikmati percutian yang hebat nanti.  

Recent

recentposts

Random

randomposts