Monday, June 29, 2015

15 Tips Trip ke Ho Chi Minh City, Vietnam

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Beberapa hari lepas, saya sudah berkongsikan dengan anda perjalanan kami ke Ho Chi Minh City (HCMC) pada 12 hingga 15 Jun 2015 lalu. Nampaknya, masih ada lagi yang ingin saya kongsikan bersama anda berkenaan HCMC. Hari ini, saya ingin kongsikan dengan anda 15 tips yang boleh anda gunakan untuk ke sana.

1. Periksa dan tempah tiket penerbangan melalui Skyscanner.com.my. Portal ini menyediakan kemudahan untuk membuat perbandingan harga dari pelbagai syarikat penerbangan lain. Ketika saya menggunakannya, saya dapati tiket dari Vietnam Airlines adalah lebih murah berbanding Air Asia dan juga MAS.


2. Jika hendak berjimat, anda boleh membawa sendiri bekalan makanan dari Malaysia seperti mi segera dan roti Gardenia. Wang yang anda jimatkan ini boleh digunakan untuk berbelanja di sana.

3. Pastikan anda hanya menggunakan teksi Vinasun sahaja. Teksi ini mempunyai reputasi yang sangat bagus dalam mengenakan tambang. Ianya berdasarkan kepada meter jarak perjalanan.

4. Ketika di dalam teksi, sila berpura-pura anda sedang melihat peta samada di telefon bimbit anda atau peta fizikal supaya pemandu teksi tidak mampu menipu anda dengan melalui jalan-jalan yang tidak sepatutnya (untuk meningkatkan jumlah tambang).

5. Dapatkan peta fizikal HCMC di lobi hotel penginapan anda. Kebiasaannya, mereka menyediakan peta untuk kemudahan pelanggan mereka. Ianya adalah percuma.

6. Harga di dalam Pasar Ben Thanh adalah 2-3 kali ganda mahal berbanding di sekitar kedai luar pasar. Tawar menawar sangat digalakkan. Cuba tawar sehingga 80% dari harga yang dibuka.

7. Pakej ke Delta Mekong dan Chu Chi Tunnel adalah berbeza mengikut agen pelancongan disana. Dalam 4-5 agen yang kami pergi, rata-rata memberikan harga sekitar USD12-15 termasuk sekali dengan pakej lunch. Jadi, pilihlah berdasarkan kepada aktivit yang anda sudah rancang dari awal.




8. Penggunaan matawang Ringgit Malaysia (RM) adalah lebih meluas berbanding Vietnam Dong (VND). Oleh itu, anda boleh tukar sedikit sahaja VND di Malaysia untuk kegunaan perkhidmatan teksi dan juga bayaran makanan di HCMC. Selebihnya, bawa dalam matawang RM.

9. Jika ingin membeli cenderamata untuk orang tersayang di Malaysia, anda boleh cuba untuk membeli di Malay Street (Nguyen An Ninh) pada waktu malam. Sehelai T-shirt boleh mencecah harga serendah RM5 bergantung pada saiz. Beg Deuter pula boleh dibeli pada harga serendah RM25.

10. Kopi ais adalah air kegemaran rakyat Malaysia di sana. Harga yang dijual diatas motor di sekitar Malay Street adalah berharga RM3 sebungkus. Ianya jauh lebih murah berbanding di dalam kedai makan seperti Hajah Basiroh yang berharga VND30,000 atau lebih kurang dalam RM5.40.



11. Kedai makanan yang mempunyai fasiliti penghawa dingin adalah lebih mahal berbanding kedai makanan yang biasa. Namun begitu, ianya adalah lebih selesa jika anda datang bersama dengan anak kecil.

12. Mengikut pengalaman saya menemani isteri membeli tudung di sekitar Malay Street, harga tudung adalah tidak konsisten. Harga berbeza mengikut daya ingatan penjual. Sehelai tudung dijual pada harga RM23 pada malam hari. Namun keesokan harinya, harga menjadi RM18 sahaja. Ini disebabkan oleh terlalu banyak rekaan tudung yang ada di dalam kedai mereka.

13. Tempat tumpuan pelancong boleh dijejaki dengan menggunakan dua belah kaki anda sahaja. Namun begitu, jika anda kesuntukan masa, anda boleh mengambil teksi Vinasun untuk ke satu-satu destinasi. Harga permulaan untuk menggunakan teksi adalah VND12,000.



14. Pengangkutan utama penduduk di HCMC adalah dengan menggunakan motosikal. Jika anda pernah pergi ke Indonesia, ianya lebih kurang sama seperti di sana. Oleh itu, sila berhati-hati terutama jika anda datang membawa anak kecil.

15. HCMC adalah tempat yang sesuai untuk orang dewasa sahaja kerana secara relatif, ini adalah tempat di mana rakyat Malaysia memborong pakaian dan juga kain cotton. Jika anda membawa kanak-kanak, pastikan anda menjaganya semasa melintas jalan atau ketika anda sedang mencuci mata di dalam kedai yang anda pergi. Ingat, Safety first!


No comments:

Post a Comment

Recent

recentposts

Random

randomposts