Saturday, September 12, 2015

Bagaimana saya BANGKIT dari kejatuhan 0 hingga ke RM Juta dalam masa 2 tahun

Assalamualaikum  & Salam Sejahtera,

Semoga anda terus dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat menikmati setiap kurniaan dari yang Maha Esa. Hari ini saya ingin berkongsikan satu kisah usahawan tegar yang pada pendapat saya, telah berjaya melalui zaman kesusahan dan kepedihan diawal perusahaan beliau.

Dengan berbekalkan semangat diri sendiri dan modal berjumlah RM5 ribu, beliau memberanikan diri untuk menceburi bidang perniagaan yang sudah pasti tidak ramai yang mampu untuk mengharunginya. Insan yang saya maksudkan disini adalah Tuan Abdul Hakim, CEO untuk produk D'Apple. Mari kita luangkan sedikit masa untuk membaca kisah perjalanan beliau di dalam bidang perniagaan yang telah dikongsikan dilaman Facebook beliau.




++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

" Bagaimana saya BANGKIT dari kejatuhan 0 hingga ke RM Juta dalam masa 2 tahun "
Jawapan seterusnya adalah pada > next status.. InshaAllah dengan keizinanNYA..
Ikuti kisah di bawah..
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Sebenarnya semenjak melibatkan diri dalam perniagaan sejak 2007, memang keadaan lelah dan penat tak pernah hilang. Pelbagai ujian dihadapi, Allah tak pernah berhenti menguji hingga ke saat ini. Saya ingin berjaya, dan saya faham setiap kejayaan datang dengan kesulitan, keperitan dan kesusahan. Cuma ianya bergantung terhadap bagaimana kita menghadapi dan menyelesaikan kesulitan tersebut.
Saya selalu membaca kisah kejayaan orang lain. Seringkali teruja. Semestinya kejayaan tersebut diiringi dengan pancaroba dan ujian yang amat berat. Makin besar perniagaan, makin besar cubaan dan risikonya. Saya akur dan faham. Jika saya ingin jadi seperti mereka yang berjaya, saya juga harus menongkah arus seperti mereka.
Tangisan? Memang sudah menjadi asam garam, bukan nak dikatakan manja, tapi air mata menitis dengan sendiri walaupun ditahan. Tapi bagi saya, sudah tidak ada peluang untuk berpatah balik. Sakit, pening, susah, payah, dan apa-apa kesulitan sekalipun ia terpaksa diteruskan jua. Pernah saya tak tidur selama 4 hari kerana kerja yang bersambung tak kunjung habis, hampir pengsan dibuatnya. Kami suami isteri bekerja 14-16 jam sehari hampir tiap hari, hampir tiada cuti. Semestinya dengan 4 orang anak (pada masa itu) keadaan tidak semudah yang disangka. Sangat perit bila memikirkan kembali.
Bisnes dimulakan dengan modal minimum, hanya RM5,000. Pada permulaan, tiada bank yang sanggup atau berani memberi pinjaman. Namun bagi saya, modal yang terbesar adalah diri sendiri. Gunakan mana-mana modal yang ada dulu. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit juga.
Saya mulakan perniagaan pertama saya dengan membuka kedai peralatan telekomunikasi (2007) dan 3 bulan selepas itu berjaya membuka 2 buah lagi kedai peralatan telekomunikasi mengunakan keuntungan kedai yang pertama dan kedua. 8 bulan kemudian, saya berjaya membuka sebuah mini market dengan menggunakan modal hanya RM12,000, juga hasil dari keuntungan ketiga-tiga kedai peralatan telekomunikasi tersebut dalam tempoh bulan. Dan Alhamdulillah, selepas 9 bulan berniaga, saya dapat pinjaman mikro sebanyak RM11,500. Dengan modal tersebut, saya membuka restoran di Pengkalan Chepa. Ia dinamakan D’Apple Café & Restaurant.
Ditambah dengan hasil keuntungan kedai peralatan telekomunikasi, perniagaan mini market dan pinjaman mikro, saya membuka D'Apple Cafe & Restaurant dengan kos awalan keseluruhan sebanyak RM30,000. Ubahsuai dilakukan dengan berperingkat sehingga kos keseluruhan untuk menaiktarafkan restoran tersebut meningkat sehingga RM85,000 dalam masa 6 bulan tapi masih lagi dari keuntungan dalaman (tanpa pinjaman)
Sepanjang tempoh itu, Subhanallah, ujian terlalu banyak. Air mata jadi peneman. Cuma digagahi dengan janji Allah "disetiap kesulitan, pasti ada kemudahan" saya teruskan walaupun sentiasa bermandi air mata di sebuah rumah kecil bersebelahan premis kedai. Rumah itu sangat kecil, Ya Allah, Hanya Engkau yang tahu betapa kecilnya rumah itu. Kecil pun tidak saya kisah. Janji selamat dan bahagia. Setiap hari kelihatan ceria dan yakin sekalipun pada malamnya di satu sudut, kelihatan sepasang suami isteri mengadu dan merintih kesedihan di atas kesulitan yang menimpa bertalu-talu. Namun bagi kami, masalah adalah pasti, kami tak akan berhenti, kami takkan putus asa. Saya tak mahu keputusan saya untuk berhenti dari kerja yang sangat selesa sebelum itu menjadi angin jika saya berputus asa begitu saja.
Tahun dukacita sudah datang. Walaupun perniagaan semakin maju tapi modal semakin hari semakin susut. Masalah utama adalah pekerja. Kami ditipu pekerja. Dari 4 cawangan perniagaan, susut kepada 3. Dari 3 turun kepada 2. Akhirnya tinggal mini market dan restoran saja. (Saya belajar, masalah pekerja adalah salah satu masalah terbesar tapi selepas beberapa tahun, ia ada kaedah untuk tanganinya).
Saya berjumpa dengan seorang usahawan berjaya, dia menasihati saya supaya fokus dalam bisnes pada peringkat permulaan ini. Hasil dari saranannya, saya menutup mini market dan menumpukan perhatian kepada bisnes restoran sahaja.
Saya obses kepada makanan barat terutamanya chicken chop. Jadi pembukaan restoran pada asasnya adalah untuk mengembangkan menu masakan barat. Saya seorang yang tak jemu-jemu mengkaji. Sebelum memulakan sesuatu perniagaan, saya terlebih dahulu mengkaji risiko dan sebab musabab kemajuan dan keruntuhan sesuatu perniagaan. Bagi perniagaan restoran, salah satu faktor utama naik jatuh perniagaan adalah bergantung kepada konsistensi makanan, iaitu tukang masak atau chef.
Bagi memastikan bisnes restoran ni bertahan lama, saya berkata kepada diri dan isteri bahawa kami wajib pandai memasak. Saya mengambil tukang masak dan setiap hari kami belajar memasak.
Alhamdulillah, 2 tahun pertama, hanya 10 hari sahaja restoran kami bercuti oleh kerana kami tidak mengalami masalah bercutinya tukang masak. Kami suami isteri menjadi tukang masak sendiri.
Ada juga ketika kerana kesuntukan wang, isteri terpaksa membantu memasak walaupun baru 2-3 hari lepas melahirkan anak. Ia berlaku kepada anak kedua dan ketiga. Anak yang masih bertali pusat dan kemerahan di bawa bersama ke dapur restoran. Kami terpaksa membawa anak kami sekali kerana semua anak-anak tak mahu hisap susu botol. Betapa kami menangis siang dan malam kerana tidak sanggup dengan keadaan itu namun kami terpaksa lakukannya kerana terlalu kesuntukan wang. Sewa mahu dibayar, letrik nak kena dipotong, gaji mesti dilunaskan.
Pada waktu tu kami jatuh dan betul-betul hanya tinggal RM100 ditangan dengan 'overhead' dan hutang semasa berpuluh ribu RM. Setiap hari dihambat pemiutang. Bila dah tak tertanggung, kami luangkan sedikit masa balik kampung, jumpa ibu bapa tersayang. Minta tolong mereka doakan kesejahteraan, dimudahkan segala urusan dan dikeluarkan dari tanggungan bebanan hutang. Alhamdulillah berkat doa ibu bapa dan dengan izin Allah kami berjaya mengharunginya smile emoticon. Hutang RM35,000 berjaya di selesaikan dalam 3 minggu berbekalkan modal RM100 yang tinggal.
Resepi Chicken Chop kami cipta sendiri. Sepanjang tempoh 2 tahun tersebut, berbelas kali perubahan kami buat terhadap resipi setelah mengambil kira pandangan pelanggan, Alhamdulillah pelanggan semakin ramai, kami bercadang untuk meluaskan dan mengembangkan menu Chicken Chop ke tempat lain dengan pembukaan satu atau dua buah lagi tambahan cawangan restoran. Selepas menimbangkan beberapa masalah yang sangat besar, adalah lebih baik hanya produk yang sampai ke dapur rumah pelanggan daripada kami membuka beberapa buah restoran yang memerlukan modal awalan yang lebih besar dan kawalan pekerja yang semestinya amat mencabar.
Kami mengeluarkan produk pertama D'Apple Frozen Chicken Chop sebanyak 30 pek dan dihantar secara ‘consignment’ kepada beberapa kedai berdekatan. Ia berlaku pada tahun 2012. Pada keesokan harinya saya ke kedai-kedai tersebut untuk melihat perkembangan jualan. Siapa sangka, kesemua 30 pek pertama habis dijual. Sinar harapan telah menjelma. Keesokan harinya jumlah pengeluaran ditambah kepada 70 pek dan dihantar ke outlet sama. Seperti hari pertama, 'sold out' dan hari ketiga ditambah kepada 120 pek, juga licin, laku keras,
Alhamdulillah.. Saya kekalkan jualan harian lebih kurang 200-400 pek sehari selama hampir satu bulan. Dari situ, saya sudah nampak satu peluang yang sangat besar. Restoran saya sebanyak 2 pintu, dikurangkan kepada satu pintu bagi memberi ruang untuk pengubahsuaian tempat pemperosesan frozen chicken chop sementara.
Subhanallah, tidak lama selepas itu, permintaan makin banyak, tapi masalah modal pula tak cukup. Kami termenung..
Macam mana nak buat ni? Modal pusingan tak cukup untuk penuhi permintaan. Dalam keadaan pasrah dan tawakkal, secara tiba-tiba Allah menghantar seorang usahawan yang baik hati walaupun tak dikenali sebelum ini untuk memberikan pelaburan modal dan untung dibahagikan bersama. Usahawan itu muncul secara tiba-tiba tanpa diminta di kala saya sedang beruram durja dan berdukalara.
Dengan wang pelaburan yang tak tersangka itu saya mampu membuka sebuah tempat mini pemprosesan. Permohonan halal JAKIM juga dipohon. Allah Maha Kaya, selepas 3 bulan, kami mendapat pengiktirafan sijil halal JAKIM.
Saya hanya membuat iklan di facebook pada permulaannya. Namun Alhamdulillah, ia mampu menarik minat beberapa pengusaha dari beberapa buah negeri di luar Kelantan untuk menjadi stokis. Selepas beberapa kali perbincangan, mereka bersetuju untuk menjadi rangkaian pengedaran D'Apple mewakili negeri masing-masing.
Pada waktu tersebut kami tiada lori untuk membuat penghantaran produk. Untuk menggunakan khidmat penghantaran lori sejuk beku luar, kos terlalu mahal untuk penghantaran stok yang tidak mencapai jumlah penghantaran minima. Pada waktu tersebut saya cuba membuat pembelian sebuah triton dengan mencuba nasib memohon pinjaman dari sebuah bank. Berlaku sekali lagi keajaiban. 'Loan' pembelian kenderaan tersebut diluluskan kerana pegawai bank ada terkhilaf dengan izin Allah (sepatutnya tak lulus). Kuasa Allah melebihi segalanya.
Maka bermulalah episod penghantaran stok ke seluruh semenanjung Malaysia bertemankan isteri dan anak-anak. Setahun kami buat kerja ini. Rumah kedua kami adalah RnR dan stesyen minyak. Anak bongsu kami membesar atas kereta.
Permintaan semakin bertambah, kami sudah tidak mampu memproses secara manual lagi. Mahu beli mesin, setiap satunya berharga RM60,000 – RM80,000. Saya tak mampu. Memang saya mahu tapi masih tak mampu. Saya buntu. Namun hati kecil ini berkata, di setiap permasalahan itu pasti ada jalan keluarnya. Saya bertekad, walaubagaimana cara pun saya mesti miliki mesin itu juga..
Bagaimana saya lakukannya? Saya mintak tolong jurujual syarikat mesin tersebut supaya mempertemukan saya dengan pemilik syarikat mesin tersebut. Jurujual tersebut memberitahu saya bahawa sangat susah untuk bertemu dengan pemilik syarikat tersebut kerana beliau selalu berada di luar negara.
Saya bagitahu jurujual tersebut bahawa saya tiada duit namun saya mahu miliki mesin tersebut. Setelah didesak beberapa kali, jurujual tersebut bersetuju untuk buat temujanji dengan boss besarnya.
Alhamdulillah seminggu selepas itu saya dikejutkan dengan panggilan bahawa pemilik syarikat mesin tersebut berada di Pulau Pinang untuk tempoh satu hari saja.
Waktu tu pukul 6 petang. Saya kena ambil peluang ni, kata hati kecil saya. Saya terus 'start' kereta dan bergeraklah kami anak beranak dari Kota Bharu ke Pulau Pinang. Alhamdulillah dapat juga bertemu pemilik syarikat mesin tu walaupun pada pukul 12 tengah malam.
Kunjungan kami anak beranak ke Pulau Pinang (walaupun dengan tergesa-gesa) berbaloi setelah berlangsungnya ‘'presentation' kepada tokey syarikat tersebut, beliau yakin dengan perniagaan saya dan saya berjaya mendapatkan kelulusan untuk membawa pulang 2 buah mesin (bernilai RM100k lebih) pada malam tersebut. ‘Tokey' tersebut memberikan saya kemudahan bayaran secara ansuran (cek tertangguh) untuk mesin-mesin tersebut. Saya tak sangka dan siapa sangka, saya ke Pulau Pinang dengan sedikit harapan namun kekuasaan Allah melebihi segala-galanya. Yang penting, usaha dan ikhtiar. Dengan adanya mesin-mesin tersebut, maka bermulalah pengeluaran produk dengan skala yang lebih besar sedikit.
Pada suatu masa (pada awal Januari 2013) produk D'Apple telah mendapat perhatian pengusaha besar dari Indonesia. Kami dijemput ke Johor untuk sesi 'food presentation' dan ‘food tasting’. Selepas perbincangan dengan pihak mereka, mereka bersetuju untuk membuat pesanan pertama produk Chicken Chop segera kami dalam kuantiti yang agak besar. Masalahnya, mini kilang yang sedia ada tidak mampu untuk menampung permintaan sebanyak itu. Saya perlu lakukan sesuatu. Sangat rugi untuk lepaskan peluang yang sangat besar ini.
Tapi macam mana nak sediakan stok atau produk sebanyak tu? Saya perlukan modal pusingan yang sangat banyak dan saya juga perlukan kilang yang jauh lebih besar.
Dengan semangat yang membara dan kepercayaan yang tinggi saya pergi berjumpa dengan pihak Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) untuk memohon bantuan kilang. Saya bertanyakan kepada pihak PKINK apa yang pihak mereka boleh bantu saya jika saya terus mahu berurusan dengan saudagar Indonesia tadi? Hasil perbincangan, tanpa disangka pihak PKINK bersetuju memberikan sebuah kilang yang agak besar dan berstatus GMP.
Saya tergamam dan sujud syukur. Saya minta yang kecil saja dan sebenarnya tak menyangka ianya boleh jadi sebesar itu. Keajaiban demi keajaiban telah berlaku dengan IzinNya. Walaupun harapan hampir tiada, namun dengan kuasa berharap dan bertindak, semuanya tidak mustahil. Yang penting, usaha, ikhtiar, tawakkal dan terus berbincang. Juga jangan putus asa.
Allah dekat dengan kita. Tak ada duit tak mengapa tapi berusahalah dan bertindaklah, pasti ada jalannya. Saya tak punya duit atau modal besar tapi itulah yang dipanggil “Kuasa Perbincangan”.
Allah suka kepada orang yang berusaha.
Ramai kawan yang bertanya, “mesti awak bermula dengan modal yg besar kan?” Tidak, saya hanya bermula dengan modal permulaan sebanyak RM5,000 pada tahun 2007. Modal permulaan bukan ukuran, tapi kesungguhan itu yang paling penting. Ujian demi ujian pasti muncul. Ujian tak akan berhenti selagi ia bernama kehidupan. Itu pasti. Ujian hanya lenyap hanya bila kita di syurga. Dan sekarang saya masih lagi dihujani dengan ujian yang tak putus-putus. Namun sekarang saya lebih yakin berhadapan dengan ujian berbekalkan pengalaman lepas.
Dan? Saya masih seperti dulu, berjuang dan terus berjuang berusaha mencapai impian yang masih belum jadi kenyataan. Impian saya? Produk D’Apple di pasaran seluruh dunia. Cuma sasaran jangka pendek adalah jualan kasar RM 1 juta sebulan untuk pasaran tempatan. Semoga Allah memudahkan urusan kami.
Sehingga kini kami mempunyai hampir 800 rangkaian pengedaran di seluruh Semenanjung Malaysia dan hampir 200 buah supermarket yang menjual produk D'Apple. Dari dulu syarikat kami yang tidak layak dan tidak dipandang oleh bank untuk memohon pinjaman, sekarang sudah diluluskan pinjaman dalam jumlah jutaan RM. Ramai agensi kerajaan atau syarikat swasta sudah membuka mata terhadap syarikat dan perniagaan kami. Kami diberikan bantuan latihan dan teknikal serta geran.
Kami juga dipilih sebagai Usahawan Belia Negara mewakili Malaysia ke Brunei Darul Salam oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk ekspo dan seminar belia negara. Pihak FAMA juga membantu kami dari segi pemasaran produk, kemudahan geran dan bermacam lagi. Syukur kehadrat Allah. Kami juga terpilih sebagai Johan Usahawan Harapan Nasional di satu pertandingan usahawan di peringkat kebangsaan. Pihak kami juga ada menjalinkan kerjasama dengan sebuah Kolej Komuniti di Melaka dalam usahasama bidang teknologi dan latihan. Kami juga dianugerahkan Usahawan Pemasar Tani Jaya 2015 (peringkat Negeri Kelantan) dan sekarang mewakili Kelantan ke pertandingan peringkat kebangsaan.
Pada tahun 2016 sasaran produk kami boleh didapati di 2,000 pasaraya utama dan terpilih di seluruh negara dan 2,000 outlet yang dibekalkan dengan peti sejuk komersial kami. Kami juga merancang untuk mengeksport produk kami ke beberapa negara luar yang sangat berminat dengan produk-produk halal kami.
Begitulah sebahagian dari cerita perjalanan bisnes saya yang tak sunyi dari ujian dan penuh pancaroba. Apa yang diceritakan di sini sebenarnya tidak sampai 1/4 dari pengalaman sebenar namun sekurang-kurangnya ianya sekadar perkongsian untuk manfaat usahawan lain yang baru berjinak dalam dunia bisnes ini.
Buang yang keruh, ambil yang jernih smile emoticon
Moral of the story : Jangan putus asa, jangan salahkan modal, modal ada dimana-mana, berusahalah mencarinya. Buat kerja kena bersungguh-sungguh. Jangan hanya melepaskan batuk ditangga. Kejayaan hanya datang dengan usaha berterusan.
Begitu dengan kiraan nombor yang bermula dengan 1,2 dan 3, begitu juga Allah berikan rezeki kepada kita. Allah akan bagi satu dulu. Andai mampu bersyukur dan pandai urus yang satu, barulah diberiNYA dua dan tiga. Allah beri secara berperingkat sebab Allah sayangkan kita. Tak ada guna dapat banyak tapi kita tak pandai uruskan, dan bila jatuh, mati terus..
Jangan lupa, BERSABARLAH dengan apa usaha kita, “ yang tuah tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang ”
Salam perjuangan :
Abd Hakim bin Awang - CEO D'Apple
(Geliga Sari Sdn Bhd)

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Bagaimana? Terinspirasi bukan dengan cerita beliau ini? Saya telah menjadikan beliau antara rakan perniagaan maya saya yang boleh menjadi mentor dan sifu di dalam perniagaan. Diharapkan agar beliau terus sudi untuk berkongsi idea dan juga tips di dalam pengurusan perniagaan.

Bagi anda yang ingin menghubungi beliau, anda boleh melayari Facebook beliau dengan klik di sini.

OK, sampai jumpa lagi di masa akan datang. :)

No comments:

Post a Comment

Recent

recentposts

Random

randomposts