Showing posts with label Tips. Show all posts
Showing posts with label Tips. Show all posts

Sunday, July 24, 2016

Nota Kewangan 4

7/24/2016
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,


1. Kad kredit adalah satu keperluan. Namun begitu, ianya adalah keperluan hanya kepada orang yang pandai menggunakan dan menguruskan kad kredit mereka sahaja.



2. Jika anda bukan dalam kategori ini, saya nasihatkan supaya tidak menggunakan keistimewaan kad ini. Sekali pakai, anda akan ketagih untuk terus menggunakannya.

3. Satu perkara yang anda perlu tahu tentang kad kredit ini adalah, ianya sangat mudah untuk diperolehi, tetapi caj faedah yang dikenakan adalah agak tinggi berbanding instrument kewangan yang lain.

4. Kebanyakkan bank mengenakan caj sebanyak 1.5% per bulan atau sehingga 18% setahun. Secara relatifnya, ianya adalah tinggi.

5. Walaubagaimanapun, kad kredit ini sangat membantu kepada mereka yang bijak menguruskan. Sudahlah dapat menggunakan duit pada waktu terdesak, kita boleh juga mendapat mata ganjaran seterusnya boleh ditukarkan kepada bentuk voucher atau hadiah.



6. Rule of thumb untuk menggunakan kad kredit adalah, membuat bayaran semula kepada bank sebaik sahaja anda telah swipe membeli sesuatu. Seperti saya, saya disiplinkan diri untuk membeli barang yang saya boleh bayar semula dalam tempoh masa singkat.

7 . Jika saya tidak mempunya tunai, saya akan tangguhkan dulu hajat untuk membeli barang tersebut.

8. Mula-mula memang susah, namun anda akan rasa manisnya apabila anda tidak perlu membayar ansuran yang tinggi beserta dengan faedah sekali pada masa hadapan.

Tuesday, July 12, 2016

Nota Kewangan 3

7/12/2016
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,



1. Rumah adalah satu keperluan. TIdak kira samada rumah sewa mahupun rumah beli. Membeli rumah samada baru atau subsale, menjadi impian semua pasangan yang telah berumahtangga.



2. Namun, untuk membeli sebuah rumah, banyak perkara yang harus difikirkan sebelum sebarang keputusan boleh dibuat.

3. Antara salah satu faktor adalah keperluan menyediakan deposit pembelian. Untuk kebanyakkan orang yang pertama kali membeli rumah, mesti anda tercari-cari, apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk meminimumkan pembayaran deposit rumah ini.

4. Berikut adalah beberapa tips ringkas yang terbukti berkesan untuk mengurangkan bayaran deposit ini, atau mungkin juga tidak perlu langsung.

5. Membeli rumah secara terus dari pemilik asal atau subsale. Dengan cara ini, anda boleh meminta penjual tersebut untuk mark-up sebanyak 10% (atau beberapa % ikut persetujuan kedua belah pihak) dari harga sedia ada. Pastikan harga selepas markup adalah harga yang boleh diterima oleh pihak bank.

6. Membeli rumah terus dari pemaju. Kebanyakkan pemaju perumahan sekarang ini memang membuat promosi gaya ini untuk menjual unit mereka. Biasanya mereka akan meletakkan harga S&P adalah 10-20% lebih dari harga yang mereka tetapkan.

7. Jika penjual atau pemaju tidak bersedia dengan 2 cara diatas, anda boleh pula memohon untuk mengurangkan harga atau dengan kata lain, memohon rebat untuk pembelian ini. Jika mereka bersedia mengurangkan sebanyak 3-5 ribu pun, anda dah jimat banyak. Boleh gunakan duit ini dengan perkara lain yang penting.




8. Boleh juga anda menggunakan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan seperti program Youth Housing Scheme oleh BSN. Dengan program ini, kerajaan akan membayar sebanyak RM200 setiap bulan, selama 2 tahun. Ini sudah pasti dapat meringankan beban anda yang baru sahaja mempunyai komitmen untuk membayar ansurang bulanan rumah. Jika anda bertuah dan terpilih, Alhamdulillah.

Thursday, June 30, 2016

Nota Kewangan 2

6/30/2016
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

1.       Menjadi rakyat Malaysia, anda harus tahu sistem kewangan berfungsi disini. Secara jujur, saya juga masih lagi belajar system ini disebabkan tahap kompleks sesuatu produk.



2.       Di Negara kita, pinjaman peribadi adalah sesuatu yang  biasa. Ada permintaan, ada juga penawaran.

3.       Unik di Malaysia, permintaan untuk pinjaman peribadi adalah agak tinggi. Terdapat pelbagai factor yang mendorong permintaan tinggi ini. Antaranya, tahap pendapatan seisi keluarga yang relatifnya rendah, kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun.

4.       Beberapa perkara yang anda perlu tahu tentang pinjaman peribadi adalah kadar faedah (interest), tempoh pinjaman, jumlah pinjaman.

5.       Secara mudah, perkiraan kadar faedah adalah seperti berikut - 

Jumlah Pinjaman X Kadar Faedah X Tempoh Pinjaman (Tahun).

6.       Semakin banyak jumlah pinjaman dan semakin panjang jadual bayaran semula, maka semakin banyak juga kos faedah yang harus dibayar balik.

7.       Kadar faedah ni ada 2 perkiraan yang biasa ditawar oleh pihak bank. Kadar tetap dan kadar terapung. Walauapapun kadar faedah tersebut, anda perlu juga tahu berapa sebenarnya kadar faedah effectif (KFE) untuk pinjaman tersebut. KFE adalah kadar sebenar untuk pinjaman anda pada masa dan saat anda membuat bayaran semula.


8.       Kadar faedah terapung akan bergantung kepada perubahan Kadar Polisi Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia. Jika kadar ini meningkat, walaupun anda membayar ansuran yg sama setiap bulan, pada hakikatnya, anda akan membayar hutang + kadar faedah yang lebih tinggi dari yang sepatutnya.


Saturday, October 10, 2015

Tips Niaga : BLACK BOOK

10/10/2015
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, hari ini diberikan kelapangan waktu untuk berkongsi beberapa tips yang saya dapat ketika membaca post dan juga nasihat niaga di Facebook saya. Baiklah, tips yang saya nak kongsikan pada artikel ini telah dizahirkan oleh Erie Nor Zaidi. Beliau memberikan tips bagaimana dan apa yang harus dilakukan ketika mendapat idea perniagaan. 
.
.
.
.
.
.

==============================

Idea sentiasa datang tak kira waktu. Sekarang jam 3.13pagi dan satu idea awesome datang singgah dalam kepala.
Macam mana saya handle idea-idea ini ? Introducing BLACK BOOK.


Buku ini mengandungi 1001 idea saya yg datang tak kira waktu. Bukan setiap masa saya boleh buat iklan atau marketing strategi bila dapat idea.

Jadi, apa yang saya buat ialah saya catatkan dulu idea tersebut di dalam black book ni dan sertakan tarikh dapat idea tu.
Setiap idea yang tercatat dalam black book ni akan saya tanda dan catat lagi result bila saya dah implement idea tersebut.
Jadi, untuk masa akan datang bila saya tak ada idea. Ianya adalah masa untuk buka dan baca balik idea dan result yg terkandung dalam black book ni..
Nota : 60% idea yg kita dapat akan hilang atau kita akan lupa apabila kita tak buat secepat mungkin atau catat di dalam black book.
Biasakan diri anda mulai hari ni


==============================
Harap anda mendapat manfaat dari tips yang dikongsikan ini.

Jumpa lagi di artikel akan datang.

Saturday, September 12, 2015

Bagaimana saya BANGKIT dari kejatuhan 0 hingga ke RM Juta dalam masa 2 tahun - Bhg 2

9/12/2015
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Semasa saya melayari Facebook tadi, ada satu tips dan juga kisah seorang usahawan yang berkongsikan kisah suka dan duka beliau ketika di awal perniagaan. Insan yang saya maksudkan adalah Tuan Abdul Hakim. Sebelum ini, saya pernah kongsikan kisah beliau untuk bahagian Satu. Sila klik disini untuk meneruskan pembacaan Bahagian Satu tersebut.

Alhamdulillah, mungkin cerita beliau dibawah ini boleh menjadi iktibar dan juga panduang berguna kepada kita semua pada masa akan datang nanti. Percayalah, tidak susah untuk menjadi susah. Namun, tidak pula senang untuk menjadi senang.

==================================================


SUBHANALLAH, MAHA SUCI ALLAH TUHAN SEKALIAN ALAM.
Saya masih belum mengerti bagaimana saya boleh terselamat dari krisis kewangan ini 4 tahun lepas, kisah yang benar-benar berlaku kepada diri saya ..
# Elektrik nak dipotong - tertunggak RM10,000.00
# Sewa RM4,000.00
# Hutang pembekal RM15,000.00
# Hutang kawan yang dituntut sebab terdesak (kalau tak silap dalam RM4,000.00)
Berlaku dalam bulan Ramadhan 4 tahun lepas. Masa tu saya hanya ada sebuah kedai makan (D'Apple Cafe & Restaurant) dan RM100.00 tunai di tangan (dalam bank kosong dan tiada benda yang bernilai untuk dicagarkan)
Serius!! ianya benar, hanya tinggal RM100 sahaja.. (seingat saya, angka yang lebih tepat adalah RM97.00.. itupun dah korek kat semua tempat dan laci)
Hutang sewa, tnb, pembekal perlu dibayar dalam masa terdekat lebih kurang dalam RM40,000.00.
Menangis tak cukup air mata. Tengok anak-anak, lagi deras air mata keluar. Bagaimanalah nasib mereka, macam-macam keluar. Cukup ke makan minum mereka, kebulur tak mereka.
Sudah dirasakan tiada jalan lagi, maka berpelukanlah suami isteri di satu sudut sambil menangis dari dinihari sampai ke pagi. Mata bengkak, tubuh longlai kepenatan, tidur hanya beberapa jam. Namun tiada selesai jua masalah walaupun keluar air mata darah sekalipun.
Saya pandang muka isteri, (ucapan dari hati) sambil usap pipi, "bertabahlah wahai hati, bertabahlah wahai isteri"..

Nak pinjam along? Takut, lagi pun apa yang nak dicagarkan.. Nak pinjam dengan adik beradik, ada yang dah pinjam, malu sebab hutang lama belum langsai. Tapi ada yang bagi RM500 seorang, Terima kasih Kak Muni dan Kak Tie, syukur smile emoticon.
Dunia dah gelap, buntu, terasa tiada jalan keluar, betul-betul tak tahu nak buat apa dah. Tangan terketar-ketar, lidah kelu, penasaran dan 'blur'. Hari-hari ditekan dengan panggilan meminta hutang. Tak reti dah nak cipta alasan. Hati dah tak keruan. Intai di jendela, mana tahu ditunggu si pemungut hutang..
Hidup tiada tenang walau seketika. Hidup dalam keadaan tertekan sentiasa dan tiada putus-putus menyebut "Ya Alah, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah". Air mata berderai-derai sentiasa..
Tak tahu nak buat apa, pergi cerita , mengadu, merintih dekat umi tersayang, tercinta. Minta doa, mintak restu tapi tak mintak duit. Umi minta bersabar. Mulai dari itu, tiada pernah tertinggal satu malam pun umi buat solat hajat. Mohon dipermudahkan urusan anak lelaki 'keras kepala' ni.
Asal je celik mata, menangis, sebelum pejam mata, pun menangis. Kedai makan tutup sebab terlalu sedih dan kecewa. (dalam 3-4 hari tutup kalau tak silap) Salah satu sebab jadi teruk begini adalah kerana ditipu pekerja, tak jaga akaun dengan baik dan miss management. Dahla kena tipu oleh pekerja, bila tembelang pecah, semua angkat kaki. tinggal laki bini ni dengan hutang berbaki..
Selepas puas dan penat menangis. akhirnya, saya berkata kepada isteri..,
" Kita meraung siang malam pun tak ada guna. Sayang... jom kita pegi buka kedai yer. Kita serah kepada Allah nasib kita. Kita usaha, kita bangkit, kita baiki balik, Sekurang-kurangnya duit masuk daripada dok menangis siang malam lagu ni... Sekurang-kurangnya Allah masih tinggalkan lagi baki RM100 dalam kocek untuk kita bermula semula.."
Tiap-tiap malam berdoa pada Allah agar dikeluarkan dari bencana ni. Sungguh, hutang ni mendatangkan kerisauan di malam hari dan kehinaan di siang hari. Tak tertanggung jiwa raga.
Dan pada masa tu seminggu sebelum raya, bermodalkan RM100 yang tinggal, kami buka balik restoran dan mulakan semula operasi. Mulakan balik dengan apa yang ada. Beli sayur sikit, ayam sikit, daging sikit, dan satu sen pun tak tinggal modal.. Saya cakap benar dan jujur, tiada satu sen pun yang tinggal. Tukang masak tak ada masalah sebab kami berdua yang jadi chef nya. Pekerja lain? Adik ipar dan beberapa pekerja ‘part time’ (student kolej berdekatan, student dari sarawak yang tak balik raya).
Cerita hari pertama.. Dapatlah hasil jualan RM100 selepas 2 jam beroperasi, pergi beli tambahan bahan mentah RM100 pula. 2 jam selepas tu dapat hasil, dan masa tu juga pergi beli tambahan ayam, ikan, sotong, udang dan beras. Hari pertama dapat jualan RM 700 (lebih kurang, hasil dari modal RM100 pertama yang dipusing beberapa kali pembelian dalam masa sehari).
Hari kedua dah punya modal yang mencukupi., Syukur Alhamdulillah..
Allah Maha Kuasa, ramainya pelanggan.
Subhanallah!
Keajaiban berlaku. Dari seminggu sebelum raya dan 2 minggu selepas raya, saya dapat langsaikan hampir 3/4 dari hutang/bebanan yang ada. Hampir RM35,000. Saya sendiri pada masa tu tidak rekodkan jualan atau keuntungan berasa sangat hairan bin ajaib dari mana datangnya duit sebanyak tu untuk selesaikan hutang. Sampai ke hari ni ianya masih menjadi misteri. Siang malam kami suami isteri cuba cari jawapan dari mana datangnya sumber wang itu namun tak jumpa. Apa yang saya tahu, hutang selesai. Walaupun tak semua tapi hampir 4/5 hutang yang ada., SELESAI.. Kami BEBAS dan mula terseyum.
Kisah ni betul-betul terjadi pada saya 4 tahun lepas dan bila mengenang kembali, saya selalu mengucap SYUKUR ALHAMDULILLAH. Berkat doa dan restu ibu, dan doa yang yang tak henti-henti, keajaiban boleh berlaku bila-bila masa dengan keizinan Allah..
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang..
Allah mendengar permintaan hambaNYA yang betul-betul meminta dan tiada putus-putus meminta. Hanya pada waktu yang betul-betul tersepit, kita paling dekat dengan Allah. Allah tidak melakukan sesuatu dengan sia-sia. Segala ujian yang diturunkan adalah untuk membuatkan kita lebih kuat dan berjaya.
Jangan mengeluh bila ditimpa ujian. Kembalilah kepadaNYA. Pasti jaya menunggu kita. Percayalah
" Disebalik kesulitan, pasti ada kemudahan ".
" Selagi nyawa di kerongkongan, selagi tu ada harapan"
InshaAllah..

===============================================

Semoga kita dapat jadikan ianya sebagai nasihat yang berguna dalam perniagaan kita. In Shaa Allah..


Tips Bisnes Dari Usahawan

9/12/2015
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Sudah lama rasanya saya tidak berkongsikan tips dan juga nasihat perniagaan yang telah sempat saya rakamkan atau baca di setiap status Facebook rakan di alam maya. Walaupun sibuk dengan tugasan harian, saya masih lagi sempat untuk snap beberap gambar yang saya rasa ianya sesuai atau bagus untuk dibaca kepada semua Usahawan di luar sana.

Kadang kala, kita ini ingin semuanya indah belaka. Namun di dalam perniagaan, rugi itu pasti, untung itu belum tentu lagi. Ini adalah satu kata kata hikmah yang saya sempat terbaca dari seorang usahawan di Facebook. Namanya saya sudah tidak ingat lagi, namun kesannya, boleh terasa sehingga kini.

Hari ini, saya ingin kongsikan beberapa tips dan nasihat yang sempat saya snap untuk tatapan para pembaca. Semoga ianya akan memberikan kita keberkatan dan kekuatan dalam menempuhi onak berliku perniagaan anda.


1. Usahawan Cendawan - Bechois




2. Internet Marketer - Catzer Catz



3. Pakar Perunding perniagaan - Warie (Harimau Menangis)



Diharapkan perkongsian ini dapat memberikan kita tambahan ilmu untuk mengukuhkan lagi pasaran perniagaan kita. Saya doakan anda akan terus Kaya dan Berjaya. Aamiin.. In Shaa Allah..

Jumpa lagi di artikel akan datang.

Salam.


10 Tip Kejayaan Bekerja dari Rumah

9/12/2015
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Pada hari semalam, saya telah berkongsikan satu cerita inspirasi yang boleh membuatkan diri kita terus cekal dan tabah dalam meneruskan perniagaan kita. Jika semalam saya berkongsikan pengalaman Tuan Abdul Hakim, tetapi pada hari ini, saya ingin berkongsikan pula tips-tips bisnes dari rumah yang dikongsikan oleh Tuan Baharuddin Mohamed.

Untuk pengetahuan, tips ini adalah dari pengalaman beliau sendiri yang telah mengusahakan perniagaan dari dalam rumah beliau sendiri. Alhamdulillah, sudah lebih 10 tahun juga beliau bekerja sendiri dari rumah. Baiklah, berikut adalah tips yang dikongsikan oleh beliau di laman Facebooknya.



====================================================================

1. Menyediakan tempat kerja khas yang selesa
Perkara ini penting, jika boleh perlu cukup semuanya. Ada komputer, ada printer dan beberapa keperluan asas. tidaklah perlu terlalu luas, cukup jika anda selesa.
Pastikanlah tempat yang anda sediakan tu mempunyai maje yang selesa untuk anda mulakan kerja. Tempatkan semua benda yang berkaitan kerja je. Kalau boleh buatlah dalam bilik khas yang kurang gangguan bising. INGAT..anda perlu bekerja walaupun di rumah bukan berbaring dan menharapkan duit masuk..

2. Bekerja mengikut waktu.
Jangan anda rasa anda bekerja kat rumah dan anda boleh sesuka hati bila nak mulakan kerja. kalau boleh buatlah macam pergi kerja biasa tu. masuk waktu kerja. Masuk jam 9 dan keluar jam 5. Ingat anda perlu bekerja, walaupun di rumah. Kalau boleh hantarlah anak-anak ke rumah pengasuh, disiplinlah diri, jangan asik nak ke pasar je. mana kerja nak menjadi dan nak siap.
.
3. Hubungan dengan kerja secara berterusan
Anda cuma bekerja dari rumah, jadi pastikan anda membuka email anda secara berkala. Jaga hubungan dengan pelanggan atau bos anda.
.
4. Ambil masa rehat
Untuk anda memastikan momentum yang berterusan anda perlu mengambil waktu rehat. contohnya ambil lah waktu makan tengah hari setiap hari. Bila anda mengambil masa rehat yang teratur kualiti kerja yang anda hasilkan pasti lebih hebat.
.
.
5. Jangan dibersihkan.
Itu sebabnya saya minta anda menyediakan tempat yang sesuai dan selesa untuk anda buat kerja. kadang-kadang anda tak lah perlu bersihkan setiap hari, anda perlukan mod untuk bekerja. biarkan bersepah...
.
.
6. Disiplin
Kalau nak buat perjumpaan , cuba buat waktu rehat atau makan tengah hari. jangan asik nak jumpa orang tak ikut waktu. Anda perlu bekerja kuat ya.
.
.
7. Tinggalkan rumah sehari dalam seminggu
tip ni memang pelik sikit, dah setiap hari anda duduk rumah, tidur pun kat rumah, makan pun kat rumah, kerja pun kat rumah. jadi tentu anda akan BOSAN. saya syorkan untuk anda pilih lah satu hari dalam seminggu untuk keluar dari rumah. Anda akan rasakan kelainannya.
.
8. Buat kerja secara rutin
1. Bangan tidur,
2. ersihkan diri, mandi dan bersiap. jangan tak gosok gigi terus buat kerja.
3. Buat sarapan
4. Masuk tempat kerja
5. Buat panggilan pelanggan
6. Tengah hari pergi makan tengah hari dan jumpa kekawan
7. Balik jam 2 buat kerja balik
8. jam 5 berhenti kerja dan siapkan kerja jangan bertangguh
9. list kerja apa nak dibuat esoknya
10. ulang langkah pertama.
.
9. Buat kerja anda.
Jangan pula , metang-metang anda kerja dari rumah anda volunteer buat kerja yang tak perlu anda buat sebagai contoh anda terima anak jiran untuk letak rumah anda. ini betul...kerja-kerja yang selalu orang lain buat jangan pulak anda yang buat. faham kan yang ni.
.
10.Stay professional
Walaupun anda kerja dari rumah ..ingat anda perlu bertanggungjawab seperti anda bekerja di office.

=====================================================================
Semoga tips yang dikongsikan oleh beliau ini dapat kita ambil untuk dijadikan pengajaran dan juga panduan dalam hidup kita.

Jumpa lagi di artikel akan datang.. Salam.. :)

Bagaimana saya BANGKIT dari kejatuhan 0 hingga ke RM Juta dalam masa 2 tahun

9/12/2015
Assalamualaikum  & Salam Sejahtera,

Semoga anda terus dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat menikmati setiap kurniaan dari yang Maha Esa. Hari ini saya ingin berkongsikan satu kisah usahawan tegar yang pada pendapat saya, telah berjaya melalui zaman kesusahan dan kepedihan diawal perusahaan beliau.

Dengan berbekalkan semangat diri sendiri dan modal berjumlah RM5 ribu, beliau memberanikan diri untuk menceburi bidang perniagaan yang sudah pasti tidak ramai yang mampu untuk mengharunginya. Insan yang saya maksudkan disini adalah Tuan Abdul Hakim, CEO untuk produk D'Apple. Mari kita luangkan sedikit masa untuk membaca kisah perjalanan beliau di dalam bidang perniagaan yang telah dikongsikan dilaman Facebook beliau.




++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

" Bagaimana saya BANGKIT dari kejatuhan 0 hingga ke RM Juta dalam masa 2 tahun "
Jawapan seterusnya adalah pada > next status.. InshaAllah dengan keizinanNYA..
Ikuti kisah di bawah..
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Sebenarnya semenjak melibatkan diri dalam perniagaan sejak 2007, memang keadaan lelah dan penat tak pernah hilang. Pelbagai ujian dihadapi, Allah tak pernah berhenti menguji hingga ke saat ini. Saya ingin berjaya, dan saya faham setiap kejayaan datang dengan kesulitan, keperitan dan kesusahan. Cuma ianya bergantung terhadap bagaimana kita menghadapi dan menyelesaikan kesulitan tersebut.
Saya selalu membaca kisah kejayaan orang lain. Seringkali teruja. Semestinya kejayaan tersebut diiringi dengan pancaroba dan ujian yang amat berat. Makin besar perniagaan, makin besar cubaan dan risikonya. Saya akur dan faham. Jika saya ingin jadi seperti mereka yang berjaya, saya juga harus menongkah arus seperti mereka.
Tangisan? Memang sudah menjadi asam garam, bukan nak dikatakan manja, tapi air mata menitis dengan sendiri walaupun ditahan. Tapi bagi saya, sudah tidak ada peluang untuk berpatah balik. Sakit, pening, susah, payah, dan apa-apa kesulitan sekalipun ia terpaksa diteruskan jua. Pernah saya tak tidur selama 4 hari kerana kerja yang bersambung tak kunjung habis, hampir pengsan dibuatnya. Kami suami isteri bekerja 14-16 jam sehari hampir tiap hari, hampir tiada cuti. Semestinya dengan 4 orang anak (pada masa itu) keadaan tidak semudah yang disangka. Sangat perit bila memikirkan kembali.
Bisnes dimulakan dengan modal minimum, hanya RM5,000. Pada permulaan, tiada bank yang sanggup atau berani memberi pinjaman. Namun bagi saya, modal yang terbesar adalah diri sendiri. Gunakan mana-mana modal yang ada dulu. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit juga.
Saya mulakan perniagaan pertama saya dengan membuka kedai peralatan telekomunikasi (2007) dan 3 bulan selepas itu berjaya membuka 2 buah lagi kedai peralatan telekomunikasi mengunakan keuntungan kedai yang pertama dan kedua. 8 bulan kemudian, saya berjaya membuka sebuah mini market dengan menggunakan modal hanya RM12,000, juga hasil dari keuntungan ketiga-tiga kedai peralatan telekomunikasi tersebut dalam tempoh bulan. Dan Alhamdulillah, selepas 9 bulan berniaga, saya dapat pinjaman mikro sebanyak RM11,500. Dengan modal tersebut, saya membuka restoran di Pengkalan Chepa. Ia dinamakan D’Apple Café & Restaurant.
Ditambah dengan hasil keuntungan kedai peralatan telekomunikasi, perniagaan mini market dan pinjaman mikro, saya membuka D'Apple Cafe & Restaurant dengan kos awalan keseluruhan sebanyak RM30,000. Ubahsuai dilakukan dengan berperingkat sehingga kos keseluruhan untuk menaiktarafkan restoran tersebut meningkat sehingga RM85,000 dalam masa 6 bulan tapi masih lagi dari keuntungan dalaman (tanpa pinjaman)
Sepanjang tempoh itu, Subhanallah, ujian terlalu banyak. Air mata jadi peneman. Cuma digagahi dengan janji Allah "disetiap kesulitan, pasti ada kemudahan" saya teruskan walaupun sentiasa bermandi air mata di sebuah rumah kecil bersebelahan premis kedai. Rumah itu sangat kecil, Ya Allah, Hanya Engkau yang tahu betapa kecilnya rumah itu. Kecil pun tidak saya kisah. Janji selamat dan bahagia. Setiap hari kelihatan ceria dan yakin sekalipun pada malamnya di satu sudut, kelihatan sepasang suami isteri mengadu dan merintih kesedihan di atas kesulitan yang menimpa bertalu-talu. Namun bagi kami, masalah adalah pasti, kami tak akan berhenti, kami takkan putus asa. Saya tak mahu keputusan saya untuk berhenti dari kerja yang sangat selesa sebelum itu menjadi angin jika saya berputus asa begitu saja.
Tahun dukacita sudah datang. Walaupun perniagaan semakin maju tapi modal semakin hari semakin susut. Masalah utama adalah pekerja. Kami ditipu pekerja. Dari 4 cawangan perniagaan, susut kepada 3. Dari 3 turun kepada 2. Akhirnya tinggal mini market dan restoran saja. (Saya belajar, masalah pekerja adalah salah satu masalah terbesar tapi selepas beberapa tahun, ia ada kaedah untuk tanganinya).
Saya berjumpa dengan seorang usahawan berjaya, dia menasihati saya supaya fokus dalam bisnes pada peringkat permulaan ini. Hasil dari saranannya, saya menutup mini market dan menumpukan perhatian kepada bisnes restoran sahaja.
Saya obses kepada makanan barat terutamanya chicken chop. Jadi pembukaan restoran pada asasnya adalah untuk mengembangkan menu masakan barat. Saya seorang yang tak jemu-jemu mengkaji. Sebelum memulakan sesuatu perniagaan, saya terlebih dahulu mengkaji risiko dan sebab musabab kemajuan dan keruntuhan sesuatu perniagaan. Bagi perniagaan restoran, salah satu faktor utama naik jatuh perniagaan adalah bergantung kepada konsistensi makanan, iaitu tukang masak atau chef.
Bagi memastikan bisnes restoran ni bertahan lama, saya berkata kepada diri dan isteri bahawa kami wajib pandai memasak. Saya mengambil tukang masak dan setiap hari kami belajar memasak.
Alhamdulillah, 2 tahun pertama, hanya 10 hari sahaja restoran kami bercuti oleh kerana kami tidak mengalami masalah bercutinya tukang masak. Kami suami isteri menjadi tukang masak sendiri.
Ada juga ketika kerana kesuntukan wang, isteri terpaksa membantu memasak walaupun baru 2-3 hari lepas melahirkan anak. Ia berlaku kepada anak kedua dan ketiga. Anak yang masih bertali pusat dan kemerahan di bawa bersama ke dapur restoran. Kami terpaksa membawa anak kami sekali kerana semua anak-anak tak mahu hisap susu botol. Betapa kami menangis siang dan malam kerana tidak sanggup dengan keadaan itu namun kami terpaksa lakukannya kerana terlalu kesuntukan wang. Sewa mahu dibayar, letrik nak kena dipotong, gaji mesti dilunaskan.
Pada waktu tu kami jatuh dan betul-betul hanya tinggal RM100 ditangan dengan 'overhead' dan hutang semasa berpuluh ribu RM. Setiap hari dihambat pemiutang. Bila dah tak tertanggung, kami luangkan sedikit masa balik kampung, jumpa ibu bapa tersayang. Minta tolong mereka doakan kesejahteraan, dimudahkan segala urusan dan dikeluarkan dari tanggungan bebanan hutang. Alhamdulillah berkat doa ibu bapa dan dengan izin Allah kami berjaya mengharunginya smile emoticon. Hutang RM35,000 berjaya di selesaikan dalam 3 minggu berbekalkan modal RM100 yang tinggal.
Resepi Chicken Chop kami cipta sendiri. Sepanjang tempoh 2 tahun tersebut, berbelas kali perubahan kami buat terhadap resipi setelah mengambil kira pandangan pelanggan, Alhamdulillah pelanggan semakin ramai, kami bercadang untuk meluaskan dan mengembangkan menu Chicken Chop ke tempat lain dengan pembukaan satu atau dua buah lagi tambahan cawangan restoran. Selepas menimbangkan beberapa masalah yang sangat besar, adalah lebih baik hanya produk yang sampai ke dapur rumah pelanggan daripada kami membuka beberapa buah restoran yang memerlukan modal awalan yang lebih besar dan kawalan pekerja yang semestinya amat mencabar.
Kami mengeluarkan produk pertama D'Apple Frozen Chicken Chop sebanyak 30 pek dan dihantar secara ‘consignment’ kepada beberapa kedai berdekatan. Ia berlaku pada tahun 2012. Pada keesokan harinya saya ke kedai-kedai tersebut untuk melihat perkembangan jualan. Siapa sangka, kesemua 30 pek pertama habis dijual. Sinar harapan telah menjelma. Keesokan harinya jumlah pengeluaran ditambah kepada 70 pek dan dihantar ke outlet sama. Seperti hari pertama, 'sold out' dan hari ketiga ditambah kepada 120 pek, juga licin, laku keras,
Alhamdulillah.. Saya kekalkan jualan harian lebih kurang 200-400 pek sehari selama hampir satu bulan. Dari situ, saya sudah nampak satu peluang yang sangat besar. Restoran saya sebanyak 2 pintu, dikurangkan kepada satu pintu bagi memberi ruang untuk pengubahsuaian tempat pemperosesan frozen chicken chop sementara.
Subhanallah, tidak lama selepas itu, permintaan makin banyak, tapi masalah modal pula tak cukup. Kami termenung..
Macam mana nak buat ni? Modal pusingan tak cukup untuk penuhi permintaan. Dalam keadaan pasrah dan tawakkal, secara tiba-tiba Allah menghantar seorang usahawan yang baik hati walaupun tak dikenali sebelum ini untuk memberikan pelaburan modal dan untung dibahagikan bersama. Usahawan itu muncul secara tiba-tiba tanpa diminta di kala saya sedang beruram durja dan berdukalara.
Dengan wang pelaburan yang tak tersangka itu saya mampu membuka sebuah tempat mini pemprosesan. Permohonan halal JAKIM juga dipohon. Allah Maha Kaya, selepas 3 bulan, kami mendapat pengiktirafan sijil halal JAKIM.
Saya hanya membuat iklan di facebook pada permulaannya. Namun Alhamdulillah, ia mampu menarik minat beberapa pengusaha dari beberapa buah negeri di luar Kelantan untuk menjadi stokis. Selepas beberapa kali perbincangan, mereka bersetuju untuk menjadi rangkaian pengedaran D'Apple mewakili negeri masing-masing.
Pada waktu tersebut kami tiada lori untuk membuat penghantaran produk. Untuk menggunakan khidmat penghantaran lori sejuk beku luar, kos terlalu mahal untuk penghantaran stok yang tidak mencapai jumlah penghantaran minima. Pada waktu tersebut saya cuba membuat pembelian sebuah triton dengan mencuba nasib memohon pinjaman dari sebuah bank. Berlaku sekali lagi keajaiban. 'Loan' pembelian kenderaan tersebut diluluskan kerana pegawai bank ada terkhilaf dengan izin Allah (sepatutnya tak lulus). Kuasa Allah melebihi segalanya.
Maka bermulalah episod penghantaran stok ke seluruh semenanjung Malaysia bertemankan isteri dan anak-anak. Setahun kami buat kerja ini. Rumah kedua kami adalah RnR dan stesyen minyak. Anak bongsu kami membesar atas kereta.
Permintaan semakin bertambah, kami sudah tidak mampu memproses secara manual lagi. Mahu beli mesin, setiap satunya berharga RM60,000 – RM80,000. Saya tak mampu. Memang saya mahu tapi masih tak mampu. Saya buntu. Namun hati kecil ini berkata, di setiap permasalahan itu pasti ada jalan keluarnya. Saya bertekad, walaubagaimana cara pun saya mesti miliki mesin itu juga..
Bagaimana saya lakukannya? Saya mintak tolong jurujual syarikat mesin tersebut supaya mempertemukan saya dengan pemilik syarikat mesin tersebut. Jurujual tersebut memberitahu saya bahawa sangat susah untuk bertemu dengan pemilik syarikat tersebut kerana beliau selalu berada di luar negara.
Saya bagitahu jurujual tersebut bahawa saya tiada duit namun saya mahu miliki mesin tersebut. Setelah didesak beberapa kali, jurujual tersebut bersetuju untuk buat temujanji dengan boss besarnya.
Alhamdulillah seminggu selepas itu saya dikejutkan dengan panggilan bahawa pemilik syarikat mesin tersebut berada di Pulau Pinang untuk tempoh satu hari saja.
Waktu tu pukul 6 petang. Saya kena ambil peluang ni, kata hati kecil saya. Saya terus 'start' kereta dan bergeraklah kami anak beranak dari Kota Bharu ke Pulau Pinang. Alhamdulillah dapat juga bertemu pemilik syarikat mesin tu walaupun pada pukul 12 tengah malam.
Kunjungan kami anak beranak ke Pulau Pinang (walaupun dengan tergesa-gesa) berbaloi setelah berlangsungnya ‘'presentation' kepada tokey syarikat tersebut, beliau yakin dengan perniagaan saya dan saya berjaya mendapatkan kelulusan untuk membawa pulang 2 buah mesin (bernilai RM100k lebih) pada malam tersebut. ‘Tokey' tersebut memberikan saya kemudahan bayaran secara ansuran (cek tertangguh) untuk mesin-mesin tersebut. Saya tak sangka dan siapa sangka, saya ke Pulau Pinang dengan sedikit harapan namun kekuasaan Allah melebihi segala-galanya. Yang penting, usaha dan ikhtiar. Dengan adanya mesin-mesin tersebut, maka bermulalah pengeluaran produk dengan skala yang lebih besar sedikit.
Pada suatu masa (pada awal Januari 2013) produk D'Apple telah mendapat perhatian pengusaha besar dari Indonesia. Kami dijemput ke Johor untuk sesi 'food presentation' dan ‘food tasting’. Selepas perbincangan dengan pihak mereka, mereka bersetuju untuk membuat pesanan pertama produk Chicken Chop segera kami dalam kuantiti yang agak besar. Masalahnya, mini kilang yang sedia ada tidak mampu untuk menampung permintaan sebanyak itu. Saya perlu lakukan sesuatu. Sangat rugi untuk lepaskan peluang yang sangat besar ini.
Tapi macam mana nak sediakan stok atau produk sebanyak tu? Saya perlukan modal pusingan yang sangat banyak dan saya juga perlukan kilang yang jauh lebih besar.
Dengan semangat yang membara dan kepercayaan yang tinggi saya pergi berjumpa dengan pihak Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) untuk memohon bantuan kilang. Saya bertanyakan kepada pihak PKINK apa yang pihak mereka boleh bantu saya jika saya terus mahu berurusan dengan saudagar Indonesia tadi? Hasil perbincangan, tanpa disangka pihak PKINK bersetuju memberikan sebuah kilang yang agak besar dan berstatus GMP.
Saya tergamam dan sujud syukur. Saya minta yang kecil saja dan sebenarnya tak menyangka ianya boleh jadi sebesar itu. Keajaiban demi keajaiban telah berlaku dengan IzinNya. Walaupun harapan hampir tiada, namun dengan kuasa berharap dan bertindak, semuanya tidak mustahil. Yang penting, usaha, ikhtiar, tawakkal dan terus berbincang. Juga jangan putus asa.
Allah dekat dengan kita. Tak ada duit tak mengapa tapi berusahalah dan bertindaklah, pasti ada jalannya. Saya tak punya duit atau modal besar tapi itulah yang dipanggil “Kuasa Perbincangan”.
Allah suka kepada orang yang berusaha.
Ramai kawan yang bertanya, “mesti awak bermula dengan modal yg besar kan?” Tidak, saya hanya bermula dengan modal permulaan sebanyak RM5,000 pada tahun 2007. Modal permulaan bukan ukuran, tapi kesungguhan itu yang paling penting. Ujian demi ujian pasti muncul. Ujian tak akan berhenti selagi ia bernama kehidupan. Itu pasti. Ujian hanya lenyap hanya bila kita di syurga. Dan sekarang saya masih lagi dihujani dengan ujian yang tak putus-putus. Namun sekarang saya lebih yakin berhadapan dengan ujian berbekalkan pengalaman lepas.
Dan? Saya masih seperti dulu, berjuang dan terus berjuang berusaha mencapai impian yang masih belum jadi kenyataan. Impian saya? Produk D’Apple di pasaran seluruh dunia. Cuma sasaran jangka pendek adalah jualan kasar RM 1 juta sebulan untuk pasaran tempatan. Semoga Allah memudahkan urusan kami.
Sehingga kini kami mempunyai hampir 800 rangkaian pengedaran di seluruh Semenanjung Malaysia dan hampir 200 buah supermarket yang menjual produk D'Apple. Dari dulu syarikat kami yang tidak layak dan tidak dipandang oleh bank untuk memohon pinjaman, sekarang sudah diluluskan pinjaman dalam jumlah jutaan RM. Ramai agensi kerajaan atau syarikat swasta sudah membuka mata terhadap syarikat dan perniagaan kami. Kami diberikan bantuan latihan dan teknikal serta geran.
Kami juga dipilih sebagai Usahawan Belia Negara mewakili Malaysia ke Brunei Darul Salam oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk ekspo dan seminar belia negara. Pihak FAMA juga membantu kami dari segi pemasaran produk, kemudahan geran dan bermacam lagi. Syukur kehadrat Allah. Kami juga terpilih sebagai Johan Usahawan Harapan Nasional di satu pertandingan usahawan di peringkat kebangsaan. Pihak kami juga ada menjalinkan kerjasama dengan sebuah Kolej Komuniti di Melaka dalam usahasama bidang teknologi dan latihan. Kami juga dianugerahkan Usahawan Pemasar Tani Jaya 2015 (peringkat Negeri Kelantan) dan sekarang mewakili Kelantan ke pertandingan peringkat kebangsaan.
Pada tahun 2016 sasaran produk kami boleh didapati di 2,000 pasaraya utama dan terpilih di seluruh negara dan 2,000 outlet yang dibekalkan dengan peti sejuk komersial kami. Kami juga merancang untuk mengeksport produk kami ke beberapa negara luar yang sangat berminat dengan produk-produk halal kami.
Begitulah sebahagian dari cerita perjalanan bisnes saya yang tak sunyi dari ujian dan penuh pancaroba. Apa yang diceritakan di sini sebenarnya tidak sampai 1/4 dari pengalaman sebenar namun sekurang-kurangnya ianya sekadar perkongsian untuk manfaat usahawan lain yang baru berjinak dalam dunia bisnes ini.
Buang yang keruh, ambil yang jernih smile emoticon
Moral of the story : Jangan putus asa, jangan salahkan modal, modal ada dimana-mana, berusahalah mencarinya. Buat kerja kena bersungguh-sungguh. Jangan hanya melepaskan batuk ditangga. Kejayaan hanya datang dengan usaha berterusan.
Begitu dengan kiraan nombor yang bermula dengan 1,2 dan 3, begitu juga Allah berikan rezeki kepada kita. Allah akan bagi satu dulu. Andai mampu bersyukur dan pandai urus yang satu, barulah diberiNYA dua dan tiga. Allah beri secara berperingkat sebab Allah sayangkan kita. Tak ada guna dapat banyak tapi kita tak pandai uruskan, dan bila jatuh, mati terus..
Jangan lupa, BERSABARLAH dengan apa usaha kita, “ yang tuah tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang ”
Salam perjuangan :
Abd Hakim bin Awang - CEO D'Apple
(Geliga Sari Sdn Bhd)

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Bagaimana? Terinspirasi bukan dengan cerita beliau ini? Saya telah menjadikan beliau antara rakan perniagaan maya saya yang boleh menjadi mentor dan sifu di dalam perniagaan. Diharapkan agar beliau terus sudi untuk berkongsi idea dan juga tips di dalam pengurusan perniagaan.

Bagi anda yang ingin menghubungi beliau, anda boleh melayari Facebook beliau dengan klik di sini.

OK, sampai jumpa lagi di masa akan datang. :)

Sunday, August 9, 2015

Idea Bisnes

8/09/2015
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Terima kasih kerana masih meluangkan masa untuk terus membaca informasi di blog ini.

Sebentar tadi, saya meluangkan masa membaca status rakan-rakan FB saya. Ternyata berbaloi kerana terdapat seorang rakan FB berkongsi tips bagaimana untuk FOKUS di dalam perniagaan. Beliau yang saya maksudkan adalah Tuan CEO Abdul Hadi. Jom lihat snapshot yang saya ambil dari FB beliau.



Bagaimana? Adakah anda sudah mendapat bayangan fokus yang lebih kecil? Semoga anda terus bermanfaat dengan tips di blog ini.


Friday, August 7, 2015

Nasihat Usahawan Untuk Usahawan.

8/07/2015
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Alhamdulillah. Sedar atau tidak, ini adalah artikel atau perkongsian saya yang ke 100 bersama dengan anda semua. Diharapkan anda semua memperolehi manfaat dari perkongsian ini.

Seperti biasa, hari ini terbaca berkenaan tips yang disampaikan oleh rakan FB saya iaitu Tuan Baharuddin Mohamed berkenaan nasihat untuk bakal usahawan atau yang sudah menjadi usahawan. Melalui catatan di FB beliau pada jam 1.15pm, 7 Ogos 2015, beliau menulis beberapa tips yang sangat berguna. Mari kita lihat tips tersebut.


Nasihat usahawan untuk usahawan.
+ Buat apa yang minat. Kenali potensi diri anda dulu sebelum buat sesuatu bisnes. Tak semua bisnes sesuai dengan diri kita. Jika anda minat dengan apa yang anda lakukan pasti dan pasti anda akan berjaya. Begitu juga dalam bisnes.
+ Jangan perduli apa orang kata dengan bisnes anda. Jangan dihairan jika idea anda ditolak. Jangan putus asa dan teruskan hingga berjaya.
+ Belajar dari mendengar. Banyak peluang bisnes anda dapat dari mendengar.
+ Baca dan terus membaca. Ramai mereka yang berjaya adalah mereka yang kuat membaca.
+ Jangan laburkan semua modal anda dalam bisnes. Anda perlu ada wang untuk waktu sukar. Lebih lagi mereka yang baru membuka bisnes.
+ Jangan asik fikirkan kelemahan, tonjolkan kelebihan dalam diri dan bisnes anda.
+ Jadualkan diri anda. Rancang diri anda, esok nak buat apa, lusa boleh buat apa dan seterusnya.
+ Perlu ada mentor dan bisnes modal. Jika tidak ada mentor mungkin garis penamat untuk itu lambat sikit.
+ Perlu sentiasa bersaing.
+ Memberi kasih sayang tanpa syarat pada staf dan pelanggan.

Namun begitu, saya rasa, point yang ke 8 itu berbunyi begini sepatutnya:
Jika ada mentor mungkin garis penamat untuk perniagaan anda itu lambat sikit.
Harap anda terinspirasi dengan nasihat dari usahawan yang berjaya ini. InsyaAllah. 

Thursday, August 6, 2015

Manipulasi Wang Gaji

8/06/2015
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Hari ni ketika membuka Facebook, saya terlihat satu tips yang dikongsikan oleh rakan FB saya iaitu Tn. Abdul Basit dari Byond Success. Ianya berkenaan dengan bagaimana untuk memanipulasikan wang gajji anda. Berikut adalah tips yang dikongsikan di laman FB beliau:



Manipulasi GAJI--> Beli Rumah

Sebagai pemilik bisnes,kami sendiri beberapa kali gagal dalam mendapatkan pinjaman perumahan daripada Bank. Dimana silapnya?

Melalui survey yang lalu , kami dapati ramai yang ingin tahu bagaimana untuk manipulasi gaji sendiri supaya dapat beli rumah.

1. Sebelum anda nak beli rumah ialah PILIH RUMAH yang anda nak beli dan dapatkan nilai bayaran bulanan bagi rumah tersebut. Contohnya anda memilih rumah yang berharga RM300,000. Biasanya purata bayaran bulanannya ialah RM1500+ sebulan untuk tempoh 35tahun. Kaedah pengiraan khusus memerlukan sesi khas,mungkin kita boleh berjumpa di kelas anjuran Byond Success.

2. TETAPkan gaji anda 3× ganda daripada harga installment tersebut.
Pengiraan mudah pihak bank , gaji anda 1/3 digunakan untuk bayar duit rumah(sendiri/sewa) , 1/3 digunakan untuk logistik ( kenderaan sendiri/awam) dan 1/3 lagi digunakan untuk kos sara hidup.
Contoh mudah: RM1,500 × 3 = RM4,500. Maka , jumlah GAJI MINIMUM yang anda perlu TETAPkan untuk membeli rumah berharga RM300,000 ialah RM4,500.

3. CARUM KWSP & SOCSO berdasarkan nilai gaji yang anda tetapkan. Cara pengiraan KWSP & Socso juga akan kami kongsikan dalam seminar Advance My Document pada bulan September nanti.
Ps: WAJIB mencarum KWSP & Socso,GAJI yang tidak dicarum tidak bernilai pada pihak bank.

Semoga ianya memberi manfaat kepada kita semua. :)

Saturday, July 25, 2015

Penukaran Ujrah PTPTN : Kajian Kes

7/25/2015
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Hari ini saya ingin berkongsi tentang pengalaman  membuat penukaran konsep dari pinjaman PTPTN berasaskan konvensional 3% kepada Ujrah 1%. Sebenarnya, idea ini telah lama saya fikirkan iaitu sejak dari bulan Oktober 2014 lagi. Namun, sebagai seorang yang mempunyai ilmu kewangan yang asas, sudah pasti penukaran ini akan memberikan pengetahuan yang lebih baik untuk menguji sejauh mana pemahaman saya terhadap konsep Ujrah ini.
 Melalui pembacaan saya di laman blog, ramai yang menzahirkan kekurangan atau perkara yang lebih kepada negatif apabila membuat penukaran kepada konsep ini. Walaubagaimanapun, saya cuba memujuk diri saya untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi konsep ini dengan bertanyakan kepada yang lebih pakar iaitu pegawai PTPTN itu sendiri. Dalam kes ini, saya telah bertanya sendiri semua persoalan saya kepada Pn Siti Hawa iaitu pegawai yang bertugas di PTPTN cawangan KL Sentral. Semua urusan adalah hanya melalui emel sahaja.

Akhirnya, persoalan yang selalu bermain di minda saya terbalas sudah. Setelah membuat pertimbangan yang sewajaranya, saya bertekad untuk membuat penukaran daripada konsep lama kepada konsep Ujrah ini. Untuk pengetahuan, ini bukanlah untuk diri saya, sebaliknya ianya untuk pinjaman isteri saya. Jadi saya temankan beliau ke PTPTN Cawangan UTC Pudu untuk menghantar borang penukaran Ujrah ini.



Mungkin anda tertanya-tanya, apakah soalan yang saya tanyakan itu? Baiklah, saya kongsikan sendiri persoalan yang dihantar kepada pegawai tersebut.


Soalan yang ditanya:



Jawapan yang diterima:



Perkara penting yang saya perlu tahu adalah adakah ianya berkongsepkan kepada flat rate iaitu sama seperti pembiayaan kereta? Namun, jawapan yang diberikan adalah cukup meyakinkan bahawa ianya tidak sama seperti pembiayaan kereta. Jadi, tahukah anda bagaimana konsep pembiayaan kereta yang sering di amalkan oleh perbankan di Malaysia?

Perkara kedua yang ditanya adalah samada jika kita membuat lebihan bayaran yang sepatutnya, adakah lebihan itu akan menolak kepada jumlah hutang atau jumlah faedah (interest)? Jawapan yang diterima adalah semua lebihan bayaran akan ditolak kepada jumlah hutang terlebih dahulu. Jumlah faedah adalah tetap pada setiap bulan.

Adakah persoalan diatas cukup untuk membuat keputusan berhijrah dari konsep konvensional kepada Ujrah? Sudah pasti tidak. Saya ada mempunyai alasan-alasan lain yang telah dipertimbangkan seperti:

1. Konsep berasaskan Islamik iaitu Ujrah
2. Tempoh bayaran balik yang lebih fleksibel
3. Jumlah ansuran yang munasabah untuk dibayar pada setiap bulan
4. Jumlah penjimatan (ibra) jika saya memilih untuk membuat penyelesaian awal (early settlement).
5. Dan perkara-perkara lain.

Kesimpulan:
Ianya jelas bergantung kepada kita samada mahu menerima konsep Ujrah ini atau tidak. Namun, jika anda mempunyai sifat was-was kepada konsep konvensional, maka dinasihatkan untuk berhijrah kepada konsep Ujrah. Namun jika dirasakan konsep konvensional adalah lebih mudah dan lebih menguntungkan anda, maka kekalkanlah bersama konsep sedia ada. Diharapkan perkongsian ini dapat memberikan sedikit info kepada anda semua.

3 Langkah Elak GST

7/25/2015
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, dah beberapa hari kita menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 2015. Rasanya, banyak sudah makanan yang kita makan sejak hari pertama raya lagi. Macam saya, pelbagai juadah ditelan setiap kali beraya di rumah sanak saudara. Bagaimana dengan sambutan raya anda?


Baiklah, pada hari ini, hampir 4 bulan kita menerima penggunaan GST dalam kehidupan seharian kita. Ada sesetengah individu yang menganggap GST ini adalah baik untuk negara seperti para Menteri di Malaysia dan juga kroni-kroni mereka. Namun, kebanyakkan rakyat mengeluh kerana dengan adanya GST, mereka terpaksa mengehadkan perbelanjaan harian mereka. Bayangkan, jika hendak makan di kedai mamak sekalipun, sudah dikenakan GST.

Selepas beberapa ketika, saya telah membuat perhatian ringkas antara cara-cara untuk menjimatkan perbelanjaan ketika anda sedang atau ingin membeli barang keperluan dan barang dapur. 3 langkah yang saya sediakan dibawah ini adalah pendapat saya sahaja dan ia mungkin tidak sesuai untuk semua orang. Apakah langkah tersebut?

1. Tukar kepada barang jenama generik
Idea disebalik penukaran penggunaan kepada jenama generik sudah lama bertapak di dunia kewangan peribadi. Apa yang harus dilakukan hanyalah bertukar daripada produk berjenama yang terkenal kepada jenama pasaraya. Contohnya, Sos Cili Kimball berharga RM3 disesetengah pasaraya boleh digantikan dengan Sos Cili Aeon Big yang berharga RM2.45. Disini, anda telah berjimat sebanyak 22% untuk setiap botol sos cili. Anda boleh bertukar kepada jenama lain yang dirasakan lebih murah.

2. Belanja pada hari Member's Day
Sebagai contoh, pasaraya Aeon Big sentiasa membuat promosi potongan sebanyak 5% terhadap produk di dalam premis mereka pada setiap 28 haribulan. Jika anda adalah ahli Aeon Big dan berbelanja pada tarikh tersebut, anda layak untuk menikmati potongan sebanyak 5% tersebut. Ianya bersamaan dengan anda hanya membayar GST sebanyak 1% sahaja selepas ditolak dengan 5% tersebut.

3. Do it yourself (DIY)
Istilah ini adalah istilah yang sering digunakan untuk merujuk kepada aktiviti yang boleh anda lakukan sendiri. Contohnya, jika anda seorang penggemar Starbucks dan menikmati kopinya pada setiap pagi anda, apa kata anda cuba untuk membuat kopi anda sendiri dengan menggunakan serbuk 3 in 1. Ya, rasanya mungkin ada sedikit perbezaan, namun jika ianya dapat menjimatkan wang anda, apa salahnya untuk anda cuba kan? Lagipun, di dalam pasaraya, terdapat pelbagai jenama lain yang popular dan dijual pada harga yang lebih murah berbanding di Starbucks.

Kesimpulannya, walaupun GST ini tidak dapat dielakkan, namun saya percaya kita mampu melakukan perubahan di dalam hidup kita untuk 'tidak' membayar GST. Pendek kata, tepuk dada,tanyalah bajet anda!

Recent

recentposts

Random

randomposts