Showing posts with label Tips. Show all posts
Showing posts with label Tips. Show all posts

Monday, June 29, 2015

Tempat Membeli Jam SEIKO Murah

6/29/2015
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Semoga anda semua sihat sejahtera hendakNya. Amin.

Hari ini saya ingin berkongsikan dengan anda semua lokasi dimana saya yakin, ianya adalah tempat yang agak murah untuk membeli jam jenama Seiko dan yang lain-lain.

Jam tangan ini, boleh dikatakan agak keperluan juga walaupun MASA boleh dilihat di dalam telefon bimbit anda. Namun begitu, jam tangan ini boleh memberikan kepuasan kepada penggemar koleksi sesuatu jenama apabila jam yang dibeli adalah berstatus original dan bukan tiruan.

Pada hari Sabtu lepas ( 27 Jun 2015), saya mengajak Asilah untuk menemankan saya membeli jam tangan baru. Ianya disebabkan oleh jam tangan lama saya yang telah pecah dan rosak akibat terjatuh dari tangan semasa berhenti di R&R Pagoh. Jam lama ini mempunyai nilai sentimental kerana ianya adalah pemberian semasa kahwin dulu.

Kali ini, saya telah tetapkan yang saya ingin memiliki jam jenama SEIKO. Telah merata tempat saya pergi di sekitar KL untuk mencari jam yang mempunyai bajet rendah. Namun kebanyakkan kedai yang dilawati, harga jam SEIKO adalah dalam ribuan ringgit. Ya, terdapat juga yang berharga dibawah RM1 ribu, namun pilihan yang ada sangat terhad.

Tiba-tiba saya teringat terdapat satu kedai jam yang menjual SEIKO pada harga longgok sahaja. Kedai yang saya maksudkan adalah di Haniffa Department Store di Jalan Tunku Abdul Rahman. Di sini, terdapat pelbagai pilihan jam yang berharga dibawah RM1 ribu. Lebih-lebih lagi jika bajet yang rendah seperti saya. Untuk membeli jam ini, saya telah menetapkan bajet maksima adalah RM300 sahaja.

Setelah puas membelek satu demi satu jam disana, akhirnya saya telah membuat keputusan untuk membeli seutas jam SEIKO mengikut bajet yang telah ditetapkan. Jam ini, walaupun agak murah, namun kualiti adalah original dari SEIKO.


Alhamdulillah, syukur sangat saya panjatkan pada Ilahi kerana telah memberikan saya kesempatan untuk memiliki satu lagi koleksi SEIKO. InsyaAllah, kali ini akan dijaga rapi. Hanya digunakan untuk ke tempat kerja sahaja.


Untuk pengetahuan, di dalam kedai ini, terdapat juga jenama-jenama lain seperti Rado, Longines, Tissot, Casio, Alba dan macam-macam lagi. Namun begitu, saya tidak membuat perbandingan harga untuk jam diatas di kedai kedai jam yang lain di sekitar KL. Hanya jenama SEIKO sahaja yang saya buat perbandingan. Dari kacamata saya, walaupun harga di kedai lain sudah memberikan diskaun sehingga 50%, namun harga jam di kedai Haniffa ini masih lagi terendah.

Jadi, jika anda ada terpasang niat untuk membeli jam tangan, apa kata anda cuba terjah ke Haniffa Department Store. Jika ada yang berkenan di hati, bolehlah membuat perbandingan harga di kedai kedai jam yang lain. Saya agak yakin, harga yang ditawrkan di sini adalah harga yang terendah walaupun harga tersebut sudah tetap tanpa diskaun lagi.

Itu sahaja perkongsian kali ini. Kita jumpa lagi pada Post yang akan datang. (^_^)v

15 Tips Trip ke Ho Chi Minh City, Vietnam

6/29/2015
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Beberapa hari lepas, saya sudah berkongsikan dengan anda perjalanan kami ke Ho Chi Minh City (HCMC) pada 12 hingga 15 Jun 2015 lalu. Nampaknya, masih ada lagi yang ingin saya kongsikan bersama anda berkenaan HCMC. Hari ini, saya ingin kongsikan dengan anda 15 tips yang boleh anda gunakan untuk ke sana.

1. Periksa dan tempah tiket penerbangan melalui Skyscanner.com.my. Portal ini menyediakan kemudahan untuk membuat perbandingan harga dari pelbagai syarikat penerbangan lain. Ketika saya menggunakannya, saya dapati tiket dari Vietnam Airlines adalah lebih murah berbanding Air Asia dan juga MAS.


2. Jika hendak berjimat, anda boleh membawa sendiri bekalan makanan dari Malaysia seperti mi segera dan roti Gardenia. Wang yang anda jimatkan ini boleh digunakan untuk berbelanja di sana.

3. Pastikan anda hanya menggunakan teksi Vinasun sahaja. Teksi ini mempunyai reputasi yang sangat bagus dalam mengenakan tambang. Ianya berdasarkan kepada meter jarak perjalanan.

4. Ketika di dalam teksi, sila berpura-pura anda sedang melihat peta samada di telefon bimbit anda atau peta fizikal supaya pemandu teksi tidak mampu menipu anda dengan melalui jalan-jalan yang tidak sepatutnya (untuk meningkatkan jumlah tambang).

5. Dapatkan peta fizikal HCMC di lobi hotel penginapan anda. Kebiasaannya, mereka menyediakan peta untuk kemudahan pelanggan mereka. Ianya adalah percuma.

6. Harga di dalam Pasar Ben Thanh adalah 2-3 kali ganda mahal berbanding di sekitar kedai luar pasar. Tawar menawar sangat digalakkan. Cuba tawar sehingga 80% dari harga yang dibuka.

7. Pakej ke Delta Mekong dan Chu Chi Tunnel adalah berbeza mengikut agen pelancongan disana. Dalam 4-5 agen yang kami pergi, rata-rata memberikan harga sekitar USD12-15 termasuk sekali dengan pakej lunch. Jadi, pilihlah berdasarkan kepada aktivit yang anda sudah rancang dari awal.




8. Penggunaan matawang Ringgit Malaysia (RM) adalah lebih meluas berbanding Vietnam Dong (VND). Oleh itu, anda boleh tukar sedikit sahaja VND di Malaysia untuk kegunaan perkhidmatan teksi dan juga bayaran makanan di HCMC. Selebihnya, bawa dalam matawang RM.

9. Jika ingin membeli cenderamata untuk orang tersayang di Malaysia, anda boleh cuba untuk membeli di Malay Street (Nguyen An Ninh) pada waktu malam. Sehelai T-shirt boleh mencecah harga serendah RM5 bergantung pada saiz. Beg Deuter pula boleh dibeli pada harga serendah RM25.

10. Kopi ais adalah air kegemaran rakyat Malaysia di sana. Harga yang dijual diatas motor di sekitar Malay Street adalah berharga RM3 sebungkus. Ianya jauh lebih murah berbanding di dalam kedai makan seperti Hajah Basiroh yang berharga VND30,000 atau lebih kurang dalam RM5.40.



11. Kedai makanan yang mempunyai fasiliti penghawa dingin adalah lebih mahal berbanding kedai makanan yang biasa. Namun begitu, ianya adalah lebih selesa jika anda datang bersama dengan anak kecil.

12. Mengikut pengalaman saya menemani isteri membeli tudung di sekitar Malay Street, harga tudung adalah tidak konsisten. Harga berbeza mengikut daya ingatan penjual. Sehelai tudung dijual pada harga RM23 pada malam hari. Namun keesokan harinya, harga menjadi RM18 sahaja. Ini disebabkan oleh terlalu banyak rekaan tudung yang ada di dalam kedai mereka.

13. Tempat tumpuan pelancong boleh dijejaki dengan menggunakan dua belah kaki anda sahaja. Namun begitu, jika anda kesuntukan masa, anda boleh mengambil teksi Vinasun untuk ke satu-satu destinasi. Harga permulaan untuk menggunakan teksi adalah VND12,000.



14. Pengangkutan utama penduduk di HCMC adalah dengan menggunakan motosikal. Jika anda pernah pergi ke Indonesia, ianya lebih kurang sama seperti di sana. Oleh itu, sila berhati-hati terutama jika anda datang membawa anak kecil.

15. HCMC adalah tempat yang sesuai untuk orang dewasa sahaja kerana secara relatif, ini adalah tempat di mana rakyat Malaysia memborong pakaian dan juga kain cotton. Jika anda membawa kanak-kanak, pastikan anda menjaganya semasa melintas jalan atau ketika anda sedang mencuci mata di dalam kedai yang anda pergi. Ingat, Safety first!


Friday, May 22, 2015

Ho Chi Minh City - Rancangan Perjalanan

5/22/2015
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Semoga anda masih lagi dikurniakan kesihatan yang baik dan cemerlang hendakNya.

Entry kali ini saya ingin berkongsikan persediaan yang telah saya lakukan sekarang untuk perjalanan ke Ho Chi Minh City, Vietnam pada 12 hingga 15 Jun 2015 nanti. Disebabkan ini adalah trip keluarga ke luar negara, banyak perkara kita kena bersedia dari awal untuk mengelakkan sebarang masalah pada waktu itu nanti. Untuk makluman, kali ini trip ini akan turut diikuti oleh abang dan kakak ipar sebelah isteri. Jumlah keseluruhan dewasa adalah 4 dan kanak-kanak adalah 3.



 1. Passport
Ini adalah perkara yang paling penting sekali dalam banyak-banyak perkara. Selain sebagai dokumen perjalanan yang sah, ianya akan dijadikan sebagai ketika hendak menginap dihotel nanti. Ada sesetengah hotel akan meminta kita meninggalkan passport di kaunter receptionist hotel. Untuk perjalanan ke luar negara, passport kita hendaklah mempunyai tarikh tamat sekurang kurangnya 6 bulan dari tarikh pelepasan penerbangan kita. Jika tidak cukup, potensi anda untuk  tidak dibenarkan keluar negara adalah tinggi. Ini pernah terjadi kepada rakan blogger lain yang hendak ke sana namun tidak perasan yang tempot tamat adalah dalam masa 6 bulan. Akhirnya, pihak Imigresen tidak melepaskan dia menaiki pesawatnya.


2. Tiket Flight
Untuk perjalanan kali ini, saya dan keluarga menggunakan pesawat Vietnam Airlines. Mesti anda tertanya kan mengapa tidak naik Air Asia sahaja? Hmm. Masa saya membuat perbandingan harga di Skyscanner.com, saya dapati tiket Air Asia adalah lebih mahal berbanding dari VN Airlines. Beza tu walaupun cuma dalam lingkungan RM60, tapi masih lagi dikira banyak sebab saya akan pergi dengan ramai peserta. Dengan menggunakan VN Airlines, tiket yang saya dapat untuk pergi dan balik bagi seorang adalah RM307. Ini termasuk dengan luggage percuma seberat 30kg dan juga makanan halal di dalam flight.


3. Hotel 
Disebabkan saya ini jenis yang melancong dengan bajet yang rendah, biasanya saya hanya akan pilih hotel bertaraf 2 bintang dan ke bawah. Isteri pula tidak kisah dengan hal ini asalkan ada tempat untuk tidur dan mandi. Kali ini, saya memilih untuk tinggal di Xavier Hotel. Harga yang saya dapat untuk 4 hari 3 malam adalah sebanyak RM230 termasuk cukai dan caj perkhidmatan. Bagaimana kondisi hotel ini? Saya tidak tahu. Saya akan kongsikan sebaik sahaja saya pulang dari sana nanti. :)


4. Rancangan perjalanan (Itinerary)
Sebelum memulakan perjalanan, saya amat menggalakkan anda mempunyai pelan sendiri tentang perjalanan anda disana. Setelah saya puas membaca blog berkaitan dengan HCMC ini, saya sudah menyediakan pelan dan juga bajet saya disana. Ini perlu untuk mengelakkan anda dari rasa bosan dan akhirnya hanya terperap di dalam bilik hotel sahaja.




Baiklah, sampai sini dulu. Nanti bila dah balik dari HCMC, saya akan update lagi tentang trip ini. Semoga anda sihat selalu. Amin. (^_^)

Nota: Semua gambar adalah ihsan dari Google.com



Sunday, March 29, 2015

Mutiara Kata

3/29/2015
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Saya nak kongsi mutiara kata yang dipetik dari internet. Semoga ianya memberi manfaat kepada anda semua. :)


Carlos Slim Helu : Individu ke 2 Terkaya di Dunia

3/29/2015
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Apabila disebut sahaja nama Carlos Slim Helu, saya yakin masih ada ramai lagi diluar sana yang tidak mengenali siapa beliau. Kebiasaannya, kita akan lebih mengenali nama seperti Warrent Buffet dan juga Bill Gates. Untuk pengetahuan, Carlos Slim adalah individu ke 2 terkaya di dunia selepas Bill Gates. Ini direkodkan di dalam majalah forbes.com. Anda boleh membaca artikel berkenaan beliau di laman sesawang tersebut.


Ketika saya sedang menaip untuk membuat beberapa artikel untuk blog ini, tiba-tiba saya terbaca tentang falsafah ataupun kata-kata hikmah yang dipegang oleh beliau untuk menjadi ahli perniagaan yang berstatus bilionair.

Berikut adalah beberapa mutiara kata beliau yang boleh kita ambil untuk dijadikan panduan dalam mengembangkan perniagaan kita.

1. Saya berpendapat bahawa ketika anda menceburi perniagaan pertama kali, anda perlu memahami selok-belok perniagaan. Setelah anda memahami perniagaan ini, anda dapat membiarkan angka-angka memberitahu anda apa yang terjadi.
2. Membangunkan perniagaan dan menjadi billioanaire bukanlah suatu kemenangan. Ia adalah kompetensi; kompetensi dalam sektor anda dengan syarikat lain yang tidak memiliki rekod dalam perkara ini.
3. Sesetengah orang sangat berbakat dengan huruf (perkara bertulis) dan yang lain memiliki pemahaman yang baik dari segi angka. Anda dapat mengatur angka dengan pelbagai cara. Anda dapat membaca angka dan memahami apa yang terjadi dalam syarikat.
4. Saya berpendapat bahawa sesiapa yang memiliki hak istimewa memiliki tanggung jawab. Semua ini adalah berkenaan tanggung jawab dan kompromi.
5. Wang bukan sasarannya. Tujuannya adalah untuk membuat perusahaan semakin berkembang, menjadi kompetitif, berada di wilayah yang berbeza, menjadi efisien untuk memiliki pasukan kerja besar dalam syarikat.
6. Saya rasa kekayaan harus dilaburkan semula untuk menjana lebih kekayaan. Hasil kekayaan adalah pendapatan dan adalah penting untuk mengembangkan pengagihan pendapatan.
7. Memiliki kompromi dan tanggung jawab bukan hanya untuk diri saya dan keluarga, tetapi juga untuk pasukan pengurusan yang memiliki tanggung jawab untuk mengetahui kepentingan apa yang kita lakukan dan mengelola perniagaan dengan sempurna tanpa kehadiran saya.

Menarik bukan?  Saya berharap agar info diatas dapat memberikan sedikit sebanyak nasihat yang berguna kepada anda seterusnya dapat memngembangkan perniagaan anda.
Sampai sini dulu coretan saya. Jumpa lagi di entry seterusnya. :)

Thursday, March 26, 2015

Percutian : Pengangkutan Awam

3/26/2015
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Pada beberapa hari lepas, saya dah berkongsi tentang tips penggunaan kasut yang sesuai ketika berjalan keluar atau melancong ke destinasi impian anda. Hari ini, saya ingin berkongsi pula satu tips ketika menggunkan perkhidmatan awam di negara yang anda tuju.

Anda disarankan untuk menggunakan perkhidmatan awam sebaik mungkin bagi mendapatkan penjimatan dalam tambang perjalanan. Walaupun teksi juga dikategorikan sebagai pengangkutan awam, namun tambang yang dikenakan secara relatifnya adalah agak mahal sedikit berbanding menggunakan bas dan juga LRT/MRT. 


Lagipun, di sesetengah tempat seperti di Singapura, perkhidmatan LRT/MRT mereka sangat efisyen dan relatifnya murah berbanding teksi. Sama juga di negara kita. Menggunakan perkhidmatan bas dan LRT adalah agak murah berbanding jika menggunakan teksi.

Jika anda sudah tidak ada pilihan lain seperti anda tiba di lapangan terbang pada waktu lewat malam, anda boleh menggunakan perkhidmatan teksi yang disediakan oleh syarikat teksi berdaftar di lapangan terbang. Kadar yang akan dikenakan pada anda biasanya sudah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan kadar yang dikenakan adalah berdasarkan penggunaan kilometer seperti yang tertera di mesin pengiraan mereka. 

Sambil-sambil tu, perhatikan juga jika teksi ini mengambil kesempatan dengan menggunakan laluan lain. Oleh itu, anda digalakkan mempunyai peta agar anda tahu bahawa jalan yang dilalui teksi tersebut adalah laluan yang betul ke destinasi anda. Ini bagi mengelakkan anda ditipu dengan dikenakan caj yang tidak sepatutnya!

Sampai jumpa lagi ya. :)


Tuesday, March 24, 2015

Rancang Percutian : Kasut yang bersesuaian

3/24/2015
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hari ini saya ingin berkongsi tips apabila kita merancang untuk bercuti samada di dalam mahupun di luar negara. Sebaiknya, rancang jadual percutian anda dengan penuh aktiviti yang bermanfaat. Ada sesetengah orang bercuti untuk menenangkan minda dengan melihat kebiruan lautan. Ada pula sesetengah orang bercuti untuk membeli belah di kawasan membeli belah terkenal seperti di Ho Chi Minh.

Namun bagi mereka yang ingin bercuti untuk merasai pengalaman aktiviti ekstrem, anda sepatutnya membawa kasut yang bersesuaian dengan aktiviti tersebut. Gunakan kasut sukan jika anda ingin melakukan aktiviti bersukan atau trekking. Namun, jika anda hanya ingin pergi membeli belah sahaja, anda sesuai untuk memakai kasual sahaja seperti sandals di atas.

Anda tidak digalakkan untuk memakai kasut seperti bertumit dan juga kasut pejabat jika hendak berjalan secara santai di kawasan yang ingin dilawati. Ingat, keselesaan anda berjalan akan mempengaruhi minda dan mood anda pada hari itu!




Thursday, March 12, 2015

GST Untuk Penggunaan Di Mesin ATM

3/12/2015
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, 

Seperti yang kita semua sedia maklum, pada 1 April 2015 ini, negara kita akan mula mengenakan caj GST sebanyak 6% terhadap barang dan perkhidmatan yang kita beli. Namun begitu, baru-baru ini terdapat kekeliruan berkaitan dengan caj GST untuk pengeluaran wang dari mesin ATM (MEPS).

Ada yang berpendapat, 6% cukai itu dikenakan terhadap duit yang hendak dikeluarkan. Contohnya, jika kita hendak keluarkan duit sebanyak RM100, sebanyak RM6 akan ditolak sebagai GST. Ini adalah contoh yang orang ramai sangka sebelum diberi penerangan oleh pihak MEPS. Jadi, apa yang dikatakan oleh pihak MEPS pula? Mari lihat keratan akhbar di bawah ini:




Jika anda perhati info di dalam kolum berwarna kuning, anda akan faham apa yang dimaksudkan dengan GST untuk perkhidmatan pengeluaran wang melalui mesin ATM. Sebagai contoh, anda pelanggan kepada Maybank. Namun, disebabkan memerlukan wang dan hanya bank CIMB sahaja yang terdekat, anda mengeluarkan wang dengan menggunakan mesin ATM di cawangan bank CIMB tersebut.

Seperti amalan sedia ada, jika anda mengeluarkan wang di bank yang berlainan dengan bank untuk kad anda, anda akan dikenakan caj sebanyak RM1 untuk setiap kali pengeluaran wang dilakukan. Dengan adanya GST, sebanyak 6% akan dikenakan terhadap caj RM1 tersebut menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM1.06. Jadi, anda sudah faham sekarang bagaimana GST ini dikenakan terhadap kad ATM anda?

Cuma persoalan yang saya tengah fikirkan sekarang adalah, untuk setiap transaksi yang mempunyai nilai 1 sen, ianya akan dibundarkan kepada nilai besar yang terhampir. Ini seperti yang dilakukan oleh pihak pasaraya ditempat anda membeli belah. Contohnya, jika jumlah perbelanjaan keseluruhan adalah RM100.06, ianya akan dibundarkan kepada RM100.05. 

Oleh itu, adakah caj GST yang dikenakan terhadap kad ATM kita adalah sebanyak 6 sen atau hanya dibundarkan kepada 5 sen sahaja? Walaupun hanya perbezaan 1 sen, kerajaan Malaysia akan mempunyai lebihan wang yang banyak jika kesemua rakyat Malaysia dan juga pekerja asing mengeluarkan wang gaji mereka menggunakan mesin ATM. Mari kita tunggu dan lihat pada 1 April ini.  (^_^)

Jumpa lagi di entry akan datang. 

Wednesday, February 11, 2015

101 Matlamat & Impian - Bhg. 1

2/11/2015
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, masih lagi dikurniakan kesihatan yang baik. :)

Semua orang mempunyai matlamat hidup masing-masing. Sesuai dengan tajuk entry kali ini, saya ingin berkongsikan 101 matlamat hidup yang saya harus lakukan sementara masih dikurniakan kesihatan yang baik ini.


Matlamat ini saya akan kongsikan dalam beberapa siri dimulai dengan siri 1 ini. Berikutnya, akan diterbitkan lagi 9 siri untuk mencukupkan semuanya sebanyak 101 matlamat kehidupan.

Untuk pengetahuan, ini adalah antara beberapa tips yang dikongsikan oleh pakar pemasaran no. 1 Asia iaitu Dr. Azizan Osman. Menurut beliau, jika kita telah menetapkan matlamat, InsyaAllah, kita akan membuat sesuatu itu dengan mudah dan cepat sebab semua matlamat hidup, telah kita set kan di dalam minda. 

Jadi hari ini, saya kongsikan beberapa matlamat saya. Semoga semua 101 matlamat saya dapat direalisasikan mengikut masa yang telah ditetapkan. Amin.


No.
Impian
Masa Ditetapkan
1
Mempunyai simpanan wang tunai sebanyak RM1 juta
31 Disember 2016
2
Mempunyai simpanan ASB maksima sebanyak RM400 ribu
30 Jun 2016
3
Memperolehi pendapatan pasif dari sewa rumah konsisten RM900 sebulan
31 Disember 2015
4
Memperolehi pendapatan pasif dari Forex RM5,000 sebulan
30 Jun 2015
5
Memperolehi pendapatan pasif dari dividen ASB sebanyak RM25 ribu setahun
30 Jun 2016
6
Memberi bantuan kewangan kepada ibu bapa sebanyak RM1,500 sebulan
31 Disember 2015
7
Membayar zakat pendapatan sebanyak 3% pada 31 Disember 2015
31 Disember 2015
8
Membantu anak-anak yatim dan tahfiz dengan sedekah dan infaq sebanyak RM200 sebulan
31 Disember 2015
9
Menggunakan wang lebihan untuk bersedekah di program Bersamamu TV3
31 Disember 2015
10
Membeli kereta Proton Preve/Nissan Almera sebelum 31 Disember 2015
31 Disember 2015

Jumpa lagi di entry yang akan datang ye. :)

Budaya Membaca

2/11/2015
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Budaya membaca seharusnya dijadikan sebagai budaya yang terulung di kalangan bangsa kita. Budaya ini membuktikan bahawa masyarakat yang suka membaca mempunyai ketinggian ilmu pengetahuan yang dapat meningkatkan produktiviti di sesebuah negara. Budaya ini seharusnya dimulai dari awal usia dan dididik oleh para ibu bapa dirumah. Kita tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab membaca ini kepada pihak sekolah sahaja. Itu persepsi yang salah.


Baiklah, mulai hari ini, saya berazam ingin berkongsi beberapa ilmu dan tips yang saya perolehi hasil dari pembacaan saya. Semoga ianya akan memberikan manfaat kepada anda nanti. Mungkin tips yang ingin dikongsikan telah anda ketahui dan amalkan, namun jadikanlah tips ini sebagai satu proses peringatan atau reminder di dalam hidup kita supaya kita sentiasa ingat dan waspada dengan semua aktiviti kita.


Rancangan saya adalah, jika saya membaca dan terdapat point atau tips yang dirasakan berharga, saya akan kongsikan disini. Jadi, untuk tidak terlepas dari sebarang tips yang ingin dikongsikan, anda bolehlah melanggan artikel saya in ruang sebelah kanan blog ini.

Untuk tips hari ini:

"Sekiranya kamu perlu makan seekor katak pada setiap pagi, kamu perlu bersyukur kerana itulah perkara terburuk yang mungkin berlaku pada hari itu;"
-Mark Twain-

Thursday, February 5, 2015

5 Tips Jimat Wang Semasa di Pasaraya Besar

2/05/2015
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Semoa hari ini lebih menceriakan anda semua. 

Semua orang, tidak kira kecil mahupun besar, akan pergi ke pasaraya besar seperti Giant, Tesco, Aeon Big sekurang-kurangnya sebulan sekali. Ya, ini kerana mereka perlu untuk membeli stok barangan dapur yang semakin berkurangan pada hujung bulan. 

Untuk hari ini, saya suka nak berkongsi 5 tips yang selalu saya dan isteri akan lakukan jika pergi berbelanja di pasaraya diatas. Tips ini walaupun agak ringkas, namun ianya boleh menjadi panduan kepada anda yang ingin berbelanja mengikut bajet yang ditetapkan.

1. Buat senarai barangan yang ingin dibeli
Ini adalah perkara yang paling asas sekali. Jika ingin berbelanja, pastikan anda sudah tahu apa yang anda ingin beli. Walaupun ringkas, sekurangnya anda sudah ada bayangan barangan apa yang ingin dibeli dan barangan apa yang harus dielakkan. Disamping dapat mengelakkan dari tertinggal barang yang diperlukan, ianya dapat mempercepatkan proses membeli belah anda di dalam pasaraya.

2. Sentiasa buat semakan di mesin, pengimbas harga
Harga yang dipaparkan di rak bukan selalu betul! Ada kalanya harga yang dipaparkan adalah harga yang telah tamat promosi. Boleh jadi juga harga yang dipaparkan adalah harga untuk promosi yang akan berjalan esok harinya. Jadi, rajin-rajinkan membuat semakan di mesin pengimbas Price Checking. Ianya dapat menjimatkan banyak wang anda nanti.



3. Jangan lupa ambil katalog
Ramai orang fikir jika kita ambil katalog, potensi untuk membeli lebih dari apa yang ada dalam senarai kita adalah tinggi. Namun jangan lupa juga, dengan katalog yang disediakan, banyak juga item-item generik atau produk gantian yang lebih murah yang sedang dipromosikan oleh pasaraya tersebut. Jadi, pastikan anda mengambil satu dan membelek satu persatu muka surat untuk memastikan anda berada dalam keadaan yang bersedia untuk membeli barangan keperluan anda. Kadang-kala, barangan gantian yang anda ingin beli tu adalah lebih murah berbanding barang yang ada di dalamj senarai awal tadi.

4. Buat pengiraan matematik mudah
Semua orang termasuk kanak-kanak masa kini sudah memiliki handphone yang mempunyai fungsi kalkulator. Jadi, setiap kali barang yang ada ambil dimasukkan ke dalam troli, pastikan anda merekod semua perbelanjaan tersebut. Pastikan ianya berada di dalam bajet anda.

5. Tetapkan masa perbelanjaan anda
Semakin cepat anda keluar dari pasaraya, semakin banyak anda boleh menjimatkan wang anda. Ini kerana jika anda memperlahankan langkah kaki anda semasa membeli belah, ada potensi yang anda akan membeli banyak barang lain yang tidak diperlukan lagi. Seterusnya, anda membayar sesuatu yang tidak ada di dalam senarai awal tadi. Jadi, selepas anda sudah membuat semakan dengan senarai barangan yang dibawa, cepat-cepatlah membuat bayaran di kaunter. 

Inilah 5 tips yang selalu saya gunakan semasa membeli barangan keperluan di pasaraya besar. Anda juga boleh berjimat dengan menggunakan pelbagai kaedah lain. Yang penting, matlamat utama adalah untuk berjimat sebanyak mungkin. :)

Ok, sampai sini dulu. Kita jumpa lagi di entry akan datang.  v(^_^)v

Friday, January 30, 2015

Beg Yang Sama, Namun Harga Yang Berbeza

1/30/2015
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, 


Semoga anda terus sihat dan tenang menempuhi kehidupan anda. Saya doakan yang terbaik. :)

Hari ini, isteri saya telah berkongsi tentang satu beg yang pernah beliau beli di Txxxx, Mid Valley. Beliau ke sana untuk menebus voucher bernilai RM100 yang diterima sebagai ahli kedai tersebut. Kalau dilihat, kedai ini memang penuh dengan ciri-ciri elegan dan eklusif. Maka, tidak hairan jika sebuah beg tangan di sana boleh mencecah sehingga ratusan ringgit. 

Setelah dipujuk oleh isteri untuk ke kedai ini, saya akhirnya bersetuju untuk menemaninya untuk window shopping. Perkara ini biasa kita lakukan. Tidak perlu keluarkan duit pun untuk window shopping. Namun, setelah sampai di kedai itu, rasa rugi juga jika tidak menggunakan voucher yang telah diberikan. Lagi pula, tarikh tamat voucher tersebut hampir dekat. Jadi, isteri saya telah membuat keputusan untuk menggunakan voucher tersebut walaupun terpaksa mengeluarkan sedikit wang untuk top up sebarang perbezaan harga.

Selepas puas membelek-belek, akhirnya dia berkenan untuk membeli beg tangan berwarna pink. Harga yang dipaparkan adalah RM189. Selepas diskaun dengan voucher bernilai RM100, harga yang perlu dibayar adalah RM89 sahaja. Ok, selesai disitu. Itu cerita sebulan lalu. :)


Namun pada hari ini, ketika isteri membuat window shopping di internet, beliau mendapat satu lagi promosi dari kedai yang sama. Potongan diskaun adalah sebanyak 50% ditambah dengan 20% menjadikan jumlah semuanya adalah 70%. Walaubagaimanapun, harga untuk beg tersebut telah naik dari RM189.90 ke RM289 iaitu peningkatan harga sebanyak 53%. Walaupun setelah memberi diskaun sebanyak 70%, syarikat ini sebenarnya masih lagi tidak merasa kerugian hasil diskaun yang tinggi. Saya sangat berharap supaya terdapat perbezaan dari segi kualiti ataupun design, jadi, tidaklah terasa sangat seperti ditipu bulat-bulat oleh syarikat ini.


Mungkin ini adalah strategi syarikat tersebut untuk mengaburi mata pelanggan mereka. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang harus kita belajar dari peristiwa ini:

1. Promosi syarikat akan sentiasa ada dan terkini. Namun, produk yang dipromosikan kadang kala adalah berkualiti yang sama. Jika hari ini dia bagi diskaun melalui voucher RM100, esok lusa dia boleh bagi diskaun lain sebanyak sehingga 70% (dengan syarat, harga produk dah dinaikkan).

2. Sifat yang ingin sentiasa kelihatan trendy akan memakan diri. Ya, ini kerana, setiap design sesuatu produk itu akan cepat berputar kitarannya. Mungkin hari ini nampak cantik, tapi esok lusa dah jadi outdated. 

3. Anda boleh jimat banyak jika dapat pendamkan hasrat untuk membeli barang berjenama. Jika anda berbelanja untuk beg yang mahal ini, anda akan menyesal satu hari nanti samada kerana kualiti beg tersebut (made in China) atau kerana perbezaan harga yang ditawarkan pada masa akan datang.

4. Trik dan teknik ini telah menguatkan lagi spekulasi bahawa jika sesebuah syarikat itu ingin memberikan diskaun harga sebanyak 70%, kebanyakkan dari mereka telah menaikkan harga terlebih dahulu sebelum memulakan kempen promosi mereka. Ini adalah trik yang biasa penjual di Malaysia lakukan.

5. Ramai orang akan rasa bangga kerana dapat membeli sesuatu produk pada harga diskaun sebanyak 70%. Namun, mereka harus rasa malu, kerana mereka telah ditipu secara terang-terangan oleh penjual tersebut. Secara logik, siapa yang nak rugi dengan memberi diskaun sebanyak tuh? Lainlah kalau dia dah markup harga tersebut sebanyak 100% semasa di awal penjualan produk tersebut.

Harap anda dan saya dapat belajar sesuatu dari peristiwa ini. 

P/s : Artikel ini bukan untuk memburukkan mana-mana syarikat. Ianya semata-mata bertujuan untuk pendidikan kewangan untuk rakyat Malaysia.

Sunday, January 25, 2015

Kenali Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

1/25/2015
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, 

Apa khabar anda disana? Saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anda. Amin.

Hari ini, apa kata kita baca serba sedikit tentang tokoh yang pernah memenangi anugerah Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2008. Beliau yang saya maksudkan adalah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Dibawah ini ada beberapa tips atau info yang (saya copy & paste dari laman web yang kini sudah tidak wujud lagi) saya rasakan, ianya sangat berguna kepada kita semua. Semoga kita dapat mengambil iktibar dan berusaha lagi untuk memantapkan ekonomi keluarga kita nanti. InsyaAllah. :)


+ Umur - 64 tahun
+ Pendidikan - SPM
+ Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
+ Antara syarikat miliknya - MMC, PTP, BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM, Bank Muammalat, PROTON.
+ Sumbangan sosial -Yayasan Al-Bukhary, Institusi pengajian untuk 3,000 pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan haji.

Bagaimana sumbangan sosialnya bermula

Bila mana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun ( RM750.00) pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.


1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.

2. (Berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo , New York dan London . Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?.

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana
bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa!.

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju
kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.

22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).

23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.

25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki) . Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.

29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.

30. …..kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.

31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

32. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 45 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.

34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

35. Lifestyle? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.

36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

37. Tiada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju . Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.

39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar . Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.

41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.

42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.

44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.

45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi.

50. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.


” Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan di dunia; dan amal-amal
soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala
balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan”


(Surah Al-Kahfi: Ayat 46)

Wednesday, December 31, 2014

Pengalaman Membeli Kereta Proton Preve - Bhg. 4 - Terakhir

12/31/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Diharapkan anda sihat-sihat selalu. Baiklah, entry kali ini adalah sangat simple. Ianya adalah status terkini projek pembelian kereta Proton Preve yang telah saya kongsikan sebelum ini. Jika anda terlepas entry sebelum ini, anda boleh klik disini Bhg. 1 , Bhg. 2 , dan Bhg. 3.


Hari ini adalah hari terakhir untuk membeli kereta Proton Preve untuk mendapatkan diskaun sebanyak RM8ribu untuk kereta jenis ini. Pada hari ini juga, saya telah dimaklumkan oleh pihak bank iaitu Hong Leong Bank Berhad yang permohonan pinjaman kereta saya telah lulus. Alhamdulillah. Walaupun kadar interest agak tinggi, namun inilah bank terakhir yang sudi memberikan pinjaman.

Dengan hati yang agak gembira, saya telah pergi ke Cawangan Proton Chan Sow Lin untuk membuat tempahan. Namun, akhirnya saya dikecewakan juga. Setelah pelbagai halangan yang ditempuhi seperti kesusahan mendapatkan pinjaman bank, akhirnya saya dikecewakan juga kerana kereta yang diimpikan tidak terdapat didalam stok.

Kesimpulannya, mungkin sekarang bukanlah rezeki saya untuk memakai kereta baru. Rezeki sekarang nampaknya masih lagi bersama Proton Iswara. Walaupun gagal, namun saya telah belajar banyak juga perkara dari apa yang berlaku ini. Mungkin ini rumusan yang boleh saya simpulkan:

1. Pilih kereta dengan cermat. Jika boleh, sila membuat test drive untuk memastikan anda benar-benar berpuas hati membelinya. Cuba berbincang dengan penjual tentang diskaun terkini yang ditawarkan oleh pengeluar kereta. Tanya sekali jika boleh mendapatkan diskaun melebihi dari apa yang ditawarkan. Kebanyakkan penjual akan memotong komisyen mereka demi membuat jualan (sales) yang banyak.

2. Ketika sudah berkenan pada satu-satu kereta, cepat-cepat pergi hantar semua dokumen yang diperlukan kepada penjual kereta. Anda juga boleh membuat pilihan untuk menghantar dokumen ke bank-bank selain dari bank pihak penjual. Tujuan adalah untuk mendapatkan kadar interest yang terendah sekali di dalam pasaran pada waktu it.

3.Pastikan semua dokumen lengkap. Jika anda rasa was-was atau takut pinjaman tidak diluluskan, boleh juga sediakan dokumen penjamin sebagai sokongan pinjaman ini.

4. Walauapapun jenis kereta yang anda impikan, pastikan anda membeli kereta yang betul-betul anda mampu jelaskan bayaran ansuran pada setiap bulan. Jika tidak, ianya agak sia-sia dan merugikan anda jika bank terpaksa menarik kereta ini dek kerana kegagalan anda menjelaskan ansuran bulanannya.

Sampai sini sahaja entry kali ini. Kita jumpa lagi di entry seterusnya. 

Salam hormat.

Tuesday, December 30, 2014

Pengalaman Membeli Kereta Proton Preve - Bhg. 3

12/30/2014
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hari ini, saya ingin berkongsi sedikit update tentang projek pembelian kereta baru Proton Preve 1.6 Auto. Jika anda terlepas artikel sebelum ini, sila klik di sini dan di sini. 



Pada hari ini, iaitu 30 Disember 2014, saya diberitahu oleh beberapa pihak bank bahawa percubaan saya untuk membuat pinjaman kereta adalah TIDAK DILULUSKAN. Huhu. Sedih rasanya. Antara bank yang tidak meluluskan permohonan saya adalah:

1. Maybank
2. RHB
3. Public Bank
4. Al-Rajhi


Mungkin pada pendapat orang diluar sana hendak membuat pinjaman adalah semudah ABC. Ya, saya akui, sebenarnya, membuat pinjaman adalah lebih mudah. Namun ianya bersyarat. Sudah semestinya, mempunyai dokumen-dokumen yang lengkap untuk pemprosesan oleh pihak bank. Seperti yang anda sedia maklum, pada ketika ini, saya memang tidak bekerja bersama syarikat minyak negara untuk satu tempoh masa yang agak panjang. Akibat dari ini, banyak dokumen saya yang tidak lengkap dan menyulitkan pihak bank untuk meluluskannya. 

Berikut adalah beberapa alasan yang diberikan oleh mereka semua:

"Awak tidak ada gaji tetap, pihak bank susah nak luluskan".
"Walaupun awak ada guarantor, namun komitmen awak agak tinggi buat masa ni".
"Saya dah hantar kepada bos untuk approval, tapi kes awak ini special sikit. Saya cadang awak beli guna nak isteri awak". 
dan macam-macam alasan lagi yang diberikan oleh mereka.

Mungkin ada hikmah juga mengapa saya tidak mendapat kelulusan untuk membuat pinjaman. Mungkin tuhan hendak memberi petunjuk yang saya mungkin tidak mampu membayarnya pada pertengahn tempoh pinjaman. Sesungguhnya, perancangan Allah adalah sangat superior.

Walauapapun yang terjadi, InshaAllah, saya akan cuba untuk membuat pinjaman kereta pada masa akan datang. Ye la, walaupun ianya dikatakan liabiliti, namun, ianya juga merupakan satu keperluan terutama sekali jika sudah mempunya keluarga. Pasti anda dan juga saya ingin memberikan keselesaan yang baik kepada insan yang tersayang.

Baiklah, sampai sini dahulu. Kita jumpa di entry yang seterusnya.

Recent

recentposts

Random

randomposts